3 pelajar Nigeria ditahan, ganja RM43,000 dirampas

nigeria-dadah-pelajar-tangkap-polisKUALA LUMPUR: Polis menahan 3 pelajar Nigeria dan merampas ganja bernilai RM43,800 di kondominium di Taman Connaught Khamis lepas.

Sepasukan anggota Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah Cheras menahan kesemua suspek yang belajar di sebuah kolej berusia antara 29 hingga 30 tahun kira-kira 2.30 petang.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Kuala Lumpur, ACP Adnan Azizon berkata soal siasat ke atas suspek membawa kepada penemuan 17 ketulan mampat seberat 16.843 gram disyaki ganja yang disembunyikan dalam sebuah kereta di tempat letak kereta kondominium itu.

“Kesemua 17 ketulan mampat disyaki ganja itu diletakkan di dalam dua buah beg berasingan dalam but kereta itu,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur hari ini.

Beliau berkata kumpulan itu dipercayai aktif menjalankan kegiatan pengedaran dadah di sekitar Lembah Klang sejak 3 bulan lepas.

“Kesemua mereka masuk ke Malaysia sejak 2013 dan dipercayai mensasarkan pelajar sebagai pelanggan. Polis percaya kumpulan ini mempunyai rangkaian dengan sindiket dadah lain di negara ini dan kami masih menyiasat mana mereka peroleh bekalan,” kata Adnan.

Beliau berkata suspek direman selama 6 hari bermula Khamis lepas bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.