Pembangkang takutkan peneroka, janji bukan-bukan, kata Shahrir

shahrir-samad-peneroka-felda-kelapa-sawitPETALING JAYA: Pengerusi Felda, Tan Sri Shahrir Abdul Samad mendakwa pembangkang cuba menakut-nakutkan peneroka, selain membuat cadangan yang bukan-bukan untuk meraih sokongan pengundi dari tanah rancangan itu.

Sinar Harian melaporkan Shahrir berkata, pembangkang menuduh insentif yang diumumkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak sebagai “gula-gula” untuk menghadapi pilihan raya umum (PRU).

“Kalau ‘gula-gula’ PRU itu ‘one-off’. Tapi apa yang kita buat adalah kita susun semula model pengurusan Felda, sehingga peneroka tak perlu berhutang.

“Saya tak rasa mereka faham sebenarnya cara nak memulihkan Felda. Kalau mereka tak faham orang, mana mereka nak hormat.

“Sebab tu mereka buat cadangan bukan-bukan. Dia (pembangkang) hanya nak menakut-nakutkan peneroka,” katanya.

Pembangkang juga, katanya, menyarankan pemberian lebih untuk sara hidup yang dilihatnya sebagai penyebab peneroka terpaksa berhutang lebih.

“Saya nak kita kurangkan hutang peneroka dengan bantuan geran tanam semula,” katanya sambil menyelar hasrat Pakatan Harapan (PH) membina universiti untuk anak peneroka.

“Begitu banyak universiti di negara ini, adalah lebih baik kita tingkatkan pendidikan anak peneroka supaya ramai boleh melanjutkan pelajaran. Kenapa perlu ada universiti Felda pula?” soalnya.

Julai lalu, Najib mengumumkan 6 insentif untuk peneroka dan warga Felda antaranya dalam bentuk pelupusan hutang, bayaran insentif, kewujudan dana khas dan geran khas serta insentif perumahan.

Bagaimanapun Presiden PPBM, Tan Sri Muhyiddin Yassin dilaporkan berkata pemberian insentif itu bersifat “one-off” sebelum PRU bukanlah penyelesaian sebenar.

“Insentif yang diterima boleh meringankan beban mereka buat sementara waktu. Namun, dengan masalah kelewatan bayaran hasil sawit masih berterusan dan pendapatan bulanan masih merosot, peneroka akan kembali terbeban dengan pelbagai masalah,” katanya.

Sebelum itu, PH berkata ia akan berusaha menubuhkan Universiti Felda dengan kampus di seluruh negara bagi membantu anak peneroka yang menurutnya masih gagal melanjutkan pengajian tinggi.