PM: Tidak adil bandingkan jumlah penjawat awam Malaysia dengan negara lain

najib-penjawat-awam_newPUTRAJAYA: Tidak adil membandingkan jumlah penjawat awam di negara ini dengan negara-negara lain kerana takrifan penjawat awam di negara ini adalah tertakluk kepada Perlembagaan Persekutuan, kata Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.

Beliau berkata takrifan tersebut meliputi sektor perkhidmatan kesihatan seperti doktor dan jururawat, anggota keselamatan termasuk tentera serta polis dan warga pendidikan yang merangkumi guru.

“Di negara-negara lain, mereka tidak menghitung pekerja dalam sektor kesihatan, keselamatan dan pendidikan sebagai penjawat awam,” katanya pada Majlis Amanat Perdana Perkhidmatan Awam ke-15 (MAPPA XV) di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) hari ini.

MAPPA merupakan acara tahunan di mana Perdana Menteri menyampaikan amanat kepada anggota perkhidmatan awam daripada pelbagai perkhidmatan di peringkat persekutuan, negeri, kerajaan tempatan dan syarikat berkaitan kerajaan.

Najib berkata kerajaan tersinggung dan marah kerana ada sesetengah pihak khususnya pembangkang menuduh kononnya perkhidmatan awam negara ini sudah terlebih bilangannya, berbanding negara lain di dunia.

“Jika mereka (pembangkang) berkuasa, dengan angkuhnya, mereka mahu mengurangkan separuh daripada jumlah penjawat awam,” kata Najib.

Pihak pembangkang juga tergamak melabelkan penjawat awam dan memberi tanggapan negatif selain menyelar perkhidmatan awam sebagai ‘tidak cekap’, ‘makan gaji buta’ dan sungguh keterlaluan, apabila ada pemimpin pembangkang sanggup menghina penjawat awam sebagai ‘kucing kurap’, katanya.

Menurut Najib, dalam institusi kerajaan, perkhidmatan awam menjadi jentera utama untuk penyampaian dan pelaksanaan segala dasar serta inisiatif kuasa politik yang memerintah secara sah.

Menurutnya, terdapat persepi atau kefahaman di mana ada pemisahan, iaitu kuasa politik yang memerintah secara sah tidak ada kena mengena dengan perkhidmatan awam, seperti sesetengah orang yang berkata, kuasa politik yang memerintah secara sah boleh datang dan pergi, namun perkhidmatan awam tetap sama.

“Sebaliknya, kerajaan yang terbentuk daripada Jemaah Anggota Pentadbiran, sebenarnya satu hubungan hierarki dengan perkhidmatan awam, di mana, kerajaan penentu dasar pentadbiran negara dan dasar tersebut hendaklah dilaksanakan oleh perkhidmatan awam dengan berkesan untuk kebaikan negara seperti yang diperintahkan,” katanya.