BNM: Institusi kewangan tidak patuh peraturan akan dinamakan

Muhammad-Ibrahim_bnm_600KUALA LUMPUR: Bank Negara Malaysia (BNM) akan menyiarkan tindakan penguatkuasaan yang diambil terhadap institusi kewangan dan perantara yang tidak mematuhi peraturan dan undang-undang, berkuat kuasa mulai Januari 2018, kata Gabenor Tan Sri Muhammad Ibrahim.

Beliau berkata maklumat yang mempunyai nama institusi kewangan, jenis kesalahan serta jumlah denda dan kompaun yang dikenakan akan dibuat secara telus di laman web bank pusat.

“Langkah ini untuk meningkatkan lagi kesan tindakan penguatkuasaan sebagai pencegahan yang terbaik,” katanya pada Persidangan Antarabangsa Mengenai Jenayah Kewangan dan Pembiayaan Keganasan (IFCTF) 2017 hari ini.

Antara 2015 dan Jun 2017, denda dan penalti sejumlah RM115.8 juta dikenakan ke atas institusi yang melanggar peraturan BNM dan menjejaskan integriti sistem kewangan.

Bercakap kepada pemberita kemudiannya, Muhammad berkata BNM tidak teragak-agak mengenakan jumlah denda besar apabila keadaan mengesahkan terhadap institusi kewangan yang tidak mematuhi standard pematuhan dan tadbir urus korporat.

Beliau berkata masa mencukupi telah diberikan kepada institusi kewangan untuk menyediakan sistem dan pekerja mereka bagi tujuan itu.

Bank pusat akan bekerjasama dengan semua agensi kawal selia seperti Suruhanjaya Sekuriti, Bursa Malaysia dan agensi penguatkuasaan lain untuk memastikan integriti sistem kewangan Malaysia.

Misalnya, dalam tempoh 3 bulan lalu, 415 nama individu yang terlibat dalam penipuan kewangan telah dikongsi dalam kalangan institusi kewangan, katanya.

Bagi menyelaraskan dan mempercepat tindakan terhadap pengendali penipuan kewangan, pasukan petugas diketuai oleh Jabatan Peguam Negara turut ditubuhkan di bawah Jawatankuasa Penyelarasan Kebangsaan bagi Pencegahan Pengubahan Wang Haram, katanya.