Saya dan keluarga diancam, dakwa Syed Saddiq

Syed-Saddiq_polis_600

SHAH ALAM: Ketua Pemuda PPBM Syed Saddiq Abdul Rahman hari ini membuat laporan polis berkenaan ancaman terhadap beliau sekeluarga, 2 hari selepas mendakwa ditawarkan rasuah berjuta ringgit supaya keluar parti.

Syed Saddiq bagaimanapun enggan mendedahkan butiran laporan itu.

“Saya sudah berada di balai polis, saya minta maaf tidak dapat maklumkan kepada mana-mana media kerana ia melibatkan ancaman peribadi dan ugutan terhadap saya dan keluarga.

“Saya mungkin akan memanggil sidang media atau mengeluarkan kenyataan selepas saya mendapat nasihat polis,” katanya hari ini.

Isnin lalu, Syed Saddiq mendakwa ditawarkan RM5 juta daripada seorang individu yang rapat dengan perdana menteri, untuk meninggalkan parti dan menerima tawaran biasiswa Oxford melanjutkan pelajaran ke luar negara.

Menurut beliau, umpan RM5 juta itu “‘rangkaian sistematik dedak” dirancang penasihat kanan di Jabatan Perdana Menteri, termasuk dana untuk mendirikan sekolah debat di seluruh Malaysia.

Syed Saddiq turut mendakwa diminta menyerang Pengerusi PPBM Tun Dr Mahathir Mohamad, Presiden Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Timbalan Presiden Datuk Seri Mukhriz Mahathir dan memburuk-burukkan partinya.