Siti Kasim bidas Pemuda PPBM kerana petisyen Oktoberfest

siti-kassim-oktoberfest-4

PETALING JAYA: Peguam Siti Kasim hari ini membidas Pemuda PPBM kerana memulakan petisyen terhadap pesta arak, ketika orang ramai berdebat mengenai sambutan Oktoberfest di Malaysia.

“Semua orang mahu jadi juara Islam. Ini semua mengenai politik.

“Bila ahli politik akan mula berfikir sebagai rakyat Malaysia?” katanya di Facebook hari ini.

Petisyen itu dilancarkan Pemuda PPBM Selangor pada 29 September.

Ia akan diserahkan ke pihak berkuasa tempatan termasuk Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) serta kepimpinan PPBM dan ketua setiausaha Pakatan Harapan.

Pemuda PPBM membantah penganjuran Oktoberfest dan berkata parti arak bukan budaya Malaysia.

Pemuda PPBM berkata ramai yang mempertahankan acara tidak bermoral akan melaungkan kebebasan tetapi melabel penentang acara itu sebagai “ekstremis, fundamentalis atau tidak bertoleransi”.

Pemuda PPBM itu juga memberi amaran kebebasan tanpa kawalan akan membuka ruang kepada parti homoseksual dan perkahwinan sama jantina di masa depan.

Pemuda PPBM bagaimanapun menafikan mereka mahu mencampuri gaya hidup orang lain apabila membantah sambutan itu.

Pemuda PPBM menambah mereka bukan cuba menghalang hak orang bukan Islam mengambil alkohol atau menuntut pengharaman alkohol.

Perdebatan mengenai Oktoberfest tercetus apabila PAS menggesa Festival “Better Beer” 2017 yang dijadual 6-7 Oktober ini dihentikan.

Festival itu akhirnya dibatalkan, dan Ketua Polis Negara Datuk Seri Fuzi Harun berkata atas sebab keselamatan.