Bantah pesta arak, Jamal hantar arak ke SUK Selangor

jamal_beer

SHAH ALAM: Pengerusi Gabungan Gerakan Merah Malaysia Datuk Seri Jamal Yunos hari ini membawa 10 kotak berisi kira-kira 100 botol minuman keras ke Bangunan Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK) Selangor, sebagai simbolik bantahan terhadap penganjuran sebarang pesta arak di negeri itu.

Jamal yang tiba bersama kira-kira 10 ahlinya, bagaimanapun dihalang memasuki bangunan berkenaan oleh pengawal keselamatan.

Beliau kemudian bertindak memecahkan semua botol minuman keras itu di depan pintu masuk utama bangunan tersebut.

Terdahulu, bercakap kepada pemberita, Jamal berkata kerajaan Selangor tidak sepatutnya menggalakkan rakyat berpesta dengan minuman keras.

Menurut Jamal, beliau hanya membantah pesta arak dan bukan mahu menafikan hak orang bukan Islam untuk minum minuman keras.

“Orang bukan Islam bebas untuk minum bir, minumlah banyak mana pun di rumah, kedai minuman dan pusat hiburan tiada siapa halang,” kata Jamal.

Semalam Menteri Besar Selangor Datuk Seri Mohamed Azmin dilaporkan berkata penganjuran pesta makanan dan minuman Jerman termasuk arak yang dijadual berlangsung di sebuah pasar raya di Klang minggu depan boleh dibenarkan asalkan menepati syarat dan peraturan yang ditetapkan oleh polis serta Majlis Perbandaran Klang (MPK).

Pada Isnin lepas, Ketua Polis Negara Tan Sri Mohamad Fuzi Harun berkata pihaknya kekal dengan pendirian untuk tidak membenarkan penganjuran pesta itu ekoran wujud ancaman militan berkaitan acara berkenaan dan menasihatkan MPK untuk tidak membenarkan penganjuran acara tersebut.

Yang Dipertua MPK Datuk Mohamad Yasid Bidin pula mengakui pihaknya menangguhkan kelulusan permit sementara penganjuran pesta itu berikutan kegagalan penganjur mematuhi syarat yang ditetapkan antaranya kebenaran daripada pihak polis.