Iron lady’ Maznah tinggalkan legasi keusahawanan

maznah-securiforce

KUALA LUMPUR: Datuk Maznah Abdul Hamid dikagumi kerana semangat kepimpinan dan keusahawanannya serta tokoh masyarakat disayangi yang terkenal dengan gelaran “The Iron Lady”.

Dalam industri keselamatan yang dikuasai kaum lelaki, beliau meninggalkan nama sebagai pengasas Securiforce dan menerajui syarikat tersebut untuk menjadi antara syarikat menyediakan perkhidmatan kawalan keselamatan yang terbesar di Malaysia.

Seorang daripada usahawan wanita Melayu yang tersohor di Malaysia, keazamannya untuk berjaya dalam dunia perniagaan terserlah melalui kejayaannya membangunkan syarikat tersebut dengan hanya bermodalkan RM5,000 hasil duit simpananya.

Securiforce Group, yang beliau menjadi pengerusi eksekutif, sejak itu telah berkembang kepada lebih 65 cawangan dalam tempoh lebih 30 tahun dengan menawarkan pekerjaan kepada kira-kitra 6,000 orang – hasil kejayaan seorang wanita yang dilihat sebagai simbol kuasa wanita yang berpegang teguh kepada kepercayaan bahawa “modal utama dalam perniagaan adalah diri anda”.

Maznah, 62, menghembuskan nafas terakhirnya pada 6 petang semalam di Institut Jantung Negara (IJN) di sini selepas menjalani pembedahan pada 28 Sept untuk membetulkan saluran pada injab jantungnya yang tersumbat.

Dilahirkan pada 18 April 1955 di Jerlun, Kedah, Maznah memperolehi ijazah PhD Pentadbiran Perniagaan dalam bidang Keusahawanan, Motivasi dan Pembangunan Insan dari Central State University di New York.

Beliau bertanggungjawab bagi penubuhan Pusat Motivasi Maznah yang menjalankan seminar mengenai perniagaan dan pembangunan insan.

Ciri kepimpinan dan keusahawanannya yang cemerlang dimanfaatkan dengan sebaiknya apabila beliau diberikan peluang untuk mengendalikan program motivasi melalui radio dan televisyen, mengukuhkan reputasinya sebagai seorang yang tidak keberatan berkongsi rahsia kejayaan dengan orang lain.

Memberi dorongan kepada orang lain ke arah kejayaan juga menjadi matlamatnya apabila beliau menghasilkan sebuah buku bertajuk “Motivasi Memburu Kejayaan” (3K – Kejayaan, Kebahagiaan dan Kekayaan).

Di Securiforce, beliau menyalurkan dedikasi dan keupayaan pengurusan untuk mempelbagaikannya ke dalam pelbagai anak syarikat yang terlibat dalam bidang seperti pembangunan hartanah dan logistik.

Maznah aktif dalam pelbagai organisasi sepanjang hayatnya dengan memegang jawatan-jawatan penting yang menepati keupayaan dan pengalamannya yang luas.

Antaranya, beliau ialah naib presiden Persatuan Usahawan Wanita Dunia (FCEM), presiden Malaysian Association of Professional Speakers (MAPS) dan ahli Majlis Pelan Tindakan Pembangunan Ummah di Jabatan Perdana Menteri.

Beliau juga ialah ahli lembaga pengarah Golden Hope Plantations Berhad, ahli lembaga pengarah Yayasan Sultanah Bahiyah dan Felo Sekolah Pembangunan Sosial Universiti Utara Malaysia.

Maznah juga tidak kurang meninggalkan nama dalam politik termasuk atas kapasiti beliau sebagai ahli Majlis Eksekutif Wanita Umno, Ketua Wanita Umno Kedah dan pengerusi Biro Keusahawanan Wanita Umno.

Atas sumbangan besarnya, beliau menerima banyak penghargaan seperti Masterclass Women Entrepreneur of The Year pada Kongres SME & Anugerah Dinar Emas 2016; Anugerah Kepimpinan Ikon Cemerlang Asia Pasifik 2014; dan Entrepreneur Extraordinaire Award – Anugerah Usahawan Wanita Kebangsaan 2008.

Beliau meninggalkan suami Datuk Seri Shaheen Mirza Habib dan 5 orang anak.