Menteri beri tempoh sebulan pada bomba pantau tahfiz

noh-omar_bombo_60

SUBANG: Kementerian Kesejahteraan Bandar Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) memberi tempoh sebulan kepada bomba untuk membuat pemeriksaan ke atas semua sekolah tahfiz termasuk yang tidak berdaftar.

Menteri Tan Sri Noh Omar berkata buat masa ini tumpuan diberikan kepada sekolah tahfiz bagi memastikan tahap keselamatan sekolah.

“Sekarang tumpu pada sekolah tahfiz dulu. Yang berdaftar ada 690. Tak daftar 300 lebih. Dekat 1000.

“Bagi sebulan kepada bomba untuk pergi setiap sekolah tahfiz,” katanya pada sidang media selepas merasmikan pembukaan Sidang Kemuncak Perumahan dan Hartanah ke-20 di Hotel Sunway Resort & Spa.

Noh juga tidak mahu mengulas mengenai tahap keselamatan bangunan Pusat Tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah yang baru sehingga pemeriksaan dibuat.

“Bagi kita periksa dahulu,” katanya.

nohomar

FMT dalam laporan 28 September lalu melaporkan kebimbangan penduduk setempat mengenai risiko keselamatan bangunan baharu sekolah tahfiz itu, selepas mendapati bangunan baru itu dan pangsapuri berdekatan hanya mempunyai satu laluan sempit untuk keluar masuk yang boleh merumitkan operasi menyelamat pada waktu kecemasan.

Pada 14 September lalu, 23 orang maut kerana gagal melepaskan diri daripada kebakaran kerana pengusaha Darul Quran Ittifaqiyah tidak menyediakan ciri keselamatan kebakaran. Selepas kejadian itu, Noh Omar mendedahkan pusat tahfiz itu beroperasi tanpa kelulusan bomba. Setakat ini, belum ada tindakan diambil terhadap kegagalan itu.

Sementara itu, Noh menggesa setiap kawasan perumahan menubuhkan komuniti bomba bagi membantu usaha menangani kes kebakaran.

“Saya seru banyakkan penubuhan komuniti bomba. Kalau boleh setiap kawasan perumahan. Mereka akan dilatih. Contoh palang tak boleh masuk, letak kereta susah, diorang akan mengetahui cara untuk menanganinya.

“Kebakaran kita tak boleh agak. Kita kena pastikan langkah-langkah mencegah kebakaran,” katanya.