Bekas doktor Nik Aziz didenda di Australia bertegas tidak bersalah

Azhar-Amir-Hamzah2GEORGE TOWN: Seorang doktor Malaysia yang didakwa di Australia kerana tuntutan palsu ketika bertugas di sebuah hospital di Perth menafikan tuduhan itu, sebaliknya berkata keputusan Lembaga Perubatan Australia terhadapnya tidak dicabar atas sebab-sebab tertentu.

Peguam kepada Dr Azhar Amir Hamzah, yang baru-baru ini diberikan anugerah Tokoh Maal Hijrah peringkat Pulau Pinang, berkata antara sebab itu ialah Azhar tidak mahu mengeluarkan belanja besar untuk menampung kos perundangan untuk mencabar tuduhan ke atasnya.

“Keputusan untuk tidak mencabar dakwaan itu berdasarkan pertimbangan pada ketika itu yang ia adalah jalan paling praktikal, wajar dan jimat kos untuk menyelesaikan isu itu memandangkan beliau tidak lagi seorang doktor di Australia,” kata kenyataan peguam Dr Azhar kepada FMT.

“Anak guam kami menafikan pertuduhan ke atasnya. Beliau tidak pernah memalsukan rekod pesakit atau membuat tuntutan overtime seperti didakwa.”

Menurut peguam, semua tuntutan kerja lebih masa oleh Dr Azhar diperiksa dan diluluskan pegawai atasannya dan berdasarkan kerja yang benar-benar dilakukan.

Dr Azhar, yang kini pakar urologi di Hospital Universiti Sains Malaysia di Kubang Kerian, Kelantan, pernah merawat Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat, di hari-hari akhir bekas menteri besar Kelantan itu yang meninggal dunia pada Februari 2015.

Beliau didakwa dengan salah laku profesional di bawah Akta Peraturan Pengamal Perubatan (Australia Barat), ketika bertugas selama setahun di Fiona Stanley Hospital.

Dr Azhar didapati bersalah memalsukan rekod pesakit hospital untuk mendapatkan bayaran tuntutan “overtime” sebanyak 12 kali, di samping 61 tuntutan pulangan balik dan pemalsuan dokumen pesakit sebanyak 4 kali.

Beliau diarah memulangkan A$7,093.57 (RM23,551.79) dan membayar A$11,500 (RM38,241) sebagai kos.