Enggan pakai tudung, pemain catur Iran berpindah ke AS

Dorsa-Derakhshani-pemain-catur-enggan-pakai-hijabNEW YORK: Seorang pemain catur terkenal Iran dilarang bermain untuk pasukan negaranya kerana enggan memakai tudung dan akan menjadi pemain catur mewakili Amerika Syarikat (AS), menurut Persatuan Catur AS.

Dorsa Derakhshani, 19, yang dilahirkan di Tehran dilarang bermain oleh Persatuan Catur Iran pada Festival Catur Gibraltar yang diadakan pada Januari lalu, kata Persatuan Catur AS di laman webnya. Beliau tidak memakai tudung ketika acara itu berlangsung.

Sejak itu, beliau berpindah ke AS dan melanjutkan pengajian di Universiti Saint Louis dan menjadi wakil catur institusi berkenaan.

Derakhshani kini akan bertanding sebagai pemain catur rasmi AS, kata persatuan itu di laman webnya minggu ini.

Persatuan itu bertanggungjawab ke atas pertandingan catur, memberi kebenaran untuk kejohanan catur dan memantau kedudukan pemain.

“Saya rasa gembira dan… tenang untuk bermain mewakili persatuan yang menyambut dan menyokong saya dengan baik,” kata Derakhshani memetik laporan laman web itu.

Pada siaran radio di AS minggu lepas, beliau berkata: “Saya tidak sabar untuk mempunyai seorang jurulatih dan pasukan yang stabil, saya amat berharap dapat menjadi jaguh catur.”

Beliau juga bercita-cita menjadi doktor gigi.

Derakhshani memegang gelaran Jaguh Catur Wanita dan Jaguh Antarabangsa oleh Pertubuhan Catur Dunia (FIDE).

Beberapa minggu selepas pertandingan Gibraltar, Persatuan Catur Iran mengumumkan larangan untuk Derakhshani kerana tidak memakai tudung. Mereka juga melarang adik lelakinya yang bermain untuk Israel di Gibraltar, kata persatuan itu.

Derakhshani berkata pada siaran Radio Awam Kebangsaan bahawa beliau sebelum ini pernah bertanding tanpa memakai tudung dan berpendapat larangan itu dikeluarkan atas sebab lain.

Pengumuman itu dibuat semasa Kejohanan Catur Dunia Wanita di Tehran dan ketiga-tiga pesaing Iran kalah pada pusingan awal.

“Jadi dalam situasi ini, mereka perlu mengalih perhatian… dan mereka berjaya melakukannya. Kami menjadi buah mulut orang ramai,” katanya pada siaran itu.

Beberapa pemain terkenal termasuklah johan wanita dari AS, Nazi Paikidze memboikot pertandingan di Tehran itu kerana pemain disuruh memakai tudung, kata persatuan itu lagi.