Levi besi keluli penyumbang kos pembinaan tinggi, kata Rehda

Fateh-IskandarPETALING JAYA: Pemaju ditekan kenaikan kos pembinaan susulan pengenaan levi ke atas barangan besi keluli pada Februari.

Presiden Persatuan Pemaju Hartanah dan Perumahan Malaysia (Rehda) Fateh Iskandar Mohamed Mansor semalam berkata harga setiap tan besi keluli meningkat daripada RM1,800 kepada RM2,700.

Tambahan pula, kos pematuhan dan pembangunan turut meningkat sebanyak 15% kepada 18%, katanya lapor The Malaysian Reserve.

Fi pembangunan dan pematuhan sebahagian besarnya membabitkan premium penukaran, caj pembangunan, dana sumbangan prasarana, serta ketersambungan ke syarikat utiliti.

Fateh Iskandar berkata semua pihak berkepentingan yang berkaitan perlu memainkan peranan lebih besar untuk menurunkan kos pembangunan keseluruhan yang kemudian akan mengurangkan harga jualan rumah.

“Pemaju hartanah sememangnya ada peranan, begitu juga bank,” katanya di Sidang Kemuncak Perumahan dan Hartanah Kebangsaan ke-20 hari ini.

“Tetapi kerajaan – sama ada kerajaan negeri, persekutuan atau pihak berkuasa tempatan – perlu bertanggungjawab menyeragamkan dan mengurang kos pematuhan dan tanah.

“Akhirnya, perkara-perkara itu yang pihak berkepentingan perlu perhatikan jika mahu menurunkan keseluruhan kos pembinaan.”

Fateh Iskandar dilaporkan berkata penurunan nilai ringgit menyebabkan kenaikan kos buruh, menambahkan lagii kos pembangunan kasar.

Ketika ini, harga rumah mampu milik yang dibina pemaju swasta antara RM300,000 hingga RM500,000 mengikut negeri, lapor The Malaysian Reserve.

Awal tahun ini, Putrajaya memperkenalkan duti pelindung ke atas batang penulangan konkrit keluli (Rebar) import dan rod dawai keluli & bar berbunga dalam gegelung (SWR & DBIC) import, selain daripada duti 5% ke atas batang keluli import.

Dilaporkan duti ke atas rebar dikenakan pada kadar 13.42% bagi tahun berakhir 13 April 2018, turun kepada 12.27% dan 11.1% bagi 2 tahun seterusnya.

Duti ke atas SWR & DBIC pula dikenakan pada kadar 13.9% bagi tahun berakhir 14 April 2018, turun kepada 12.9% dan 11.9% bagi 2 tahun seterusnya.