‘Panglima’ berpengaruh di pejabat Najib memang wujud, dakwa Kit Siang

lim-kit-siang_syed-saddiq_h_600

PETALING JAYA: Veteran DAP Lim Kit Siang hari ini mempersoalkan penafian pembantu perdana menteri mengenai kewujudan individu yang kuat pengaruhnya ke atas Datuk Seri Najib Razak, yang baru-baru ini dirujuk Ketua Pemuda PPBM Syed Saddiq Abdul Rahman dalam mendakwa suatu rancangan menyogoknya.

Lim berkata beliau yakin memang wujud individu itu yang tidak disebut nama penuhnya oleh Syed Saddiq pada sidang media Isnin lalu.

Ahli Parlimen Gelang Patah itu berkata individu tersebut kuat pengaruhnya sehinggakan “pemimpin Umno/BN termasuk menteri akan menunjukkan taat setia kepadanya.

“Ini menunjukkan betapa besar kuasa dan pengaruhnya dalam Umno dan BN,” katanya.

Awal minggu ini, Syed Saddiq mendakwa didatangi beberapa individu menawarkannya RM5 juta untuk keluar PPBM dan memburuk-burukkan pimpinan tertinggi parti termasuk Tun Dr Mahathir Mohamad.

Syed Saddiq enggan menamakan siapa menghantar individu itu, tetapi berkata ia atas arahan seseorang yang dirujuknya sebagai “H”.

Bagaimanapun, Setiausaha Akhbar Perdana Menteri, Datuk Seri Tengku Sarifuddin Tengku Ahmad dilaporkan berkata tiada individu dengan rujukan tersebut.

“Pejabat Perdana Menteri tidak mempunyai seorang pegawai bernama sedemikan berkhidmat dengan perdana menteri,” katanya dipetik Sinar Harian.