Zahid: SPRM tahan naib presiden parti Shafie Apdal tiada unsur politik

ahmad-zahid-hamidi-Peter-Anthony-parti-warisan-sabah-sprmKUALA LUMPUR: Penahanan Naib Presiden Parti Warisan Sabah (Warisan) Peter Anthony oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) tidak mempunyai kaitan politik, kata Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.

Timbalan Perdana Menteri itu berkata, semua pihak harus memberikan kepercayaan dan keyakinan tinggi terhadap SPRM dalam membanteras rasuah yang berlaku di negara ini.

“Dalam hal ini kita cukup yakin ia bukan berunsur politik. Kita boleh berikan kepercayaan tinggi kepada SPRM, terutamanya untuk tentukan projek yang merakyatkan dan dinikmati rakyat.

“Ia juga supaya rakyat tidak tercicir disebabkan sesetengah pihak yang mempunyai agenda sendiri, sekaligus tidak mengetengahkan agenda kerajaan terutamanya di Sabah dan Sarawak,” katanya pada sidang media di Hotel JW Marriot hari ini.

Zahid juga berkata, isu membabitkan projek Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah merupakan kes yang sudah lama beliau dengar.

“Saya hargai dengan sikap menteri di kementerian sedia ada sekarang ini kerana sanggup berikan bukti dokumen yang perlu bagi melicinkan siasatan,” katanya.

Sebelum ini, beberapa ahli perniagaan dan kontraktor di Sabah menerima projek di bawah Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, yang ketika itu dipimpin Datuk Seri Shafie Apdal, yang kini presiden Warisan.

Lebih RM150 juta wang tunai dirampas selepas SPRM memulakan siasatan ke atas dakwaan penggelapan dana daripada kementerian itu.

Borneo Post melaporkan Peter sebelum ini menafikan pernah membuat tuntutan palsu melebihi RM42 juta ketika melakukan kontrak kerja dengan Universiti Malaysia Sabah (UMS).

Peter berkata syarikatnya menerima sijil mengesahkan ia menyelesaikan kontrak daripada UMS dengan mematuhi segala peraturan dan skop kerja yang ditetapkan.