Guna buku teks BI diimport dipuji, mampu tingkat skil pelajar

Tajuddin-Rasdi--sekolah

PETALING JAYA: Ahli akademik dan aktivis pendidikan memuji langkah kerajaan menggunakan buku teks bahasa Inggeris yang diimport kerana menurut mereka ia akan membantu meningkatkan kecekapan pelajar Malaysia dalam bahasa yang digunakan secara global.

Prof Tajuddin Rasdi dari Universiti UCSI berkata, inisiatif itu akan mendedahkan pelajar tempatan ke tahap yang lebih tinggi dalam bahasa Inggeris.

Beliau berkata, ia juga akan membolehkan penerimaan budaya yang lebih luas seperti yang digambarkan dalam penerbitan antarabangsa.

Dengan membaca buku-buku yang diimport, beliau menambah, pandangan seseorang dalam aspek seperti budaya, agama dan gaya hidup dapat diperluaskan.

“Satu lagi sebab bagi menyokong keputusan kerajaan ini adalah kerana buku-buku ini ditulis oleh penulis profesional di Britain,” katanya kepada FMT.

Katanya, kandungan itu menggalakkan penggunaan perbendaharaan kata, tatabahasa dan gambarajah yang kuat dan berkesan.

Laporan media menyebut mulai tahun depan, sekolah-sekolah akan menggunakan buku teks bahasa Inggeris yang diimport sebagai sebahagian daripada pembaharuan Kementerian Pendidikan.

Kurikulum itu akan diselaraskan dengan Rangka Kerja Bersama Eropah Rujukan Bahasa (CEFR) iaitu panduan yang dibangunkan Majlis Eropah bagi mengukur kemahiran bahasa asing.

“Ini adalah sebahagian daripada pembaharuan bahasa Inggeris kementerian bagi memastikan tahap kemahiran murid sejajar dengan piawaian antarabangsa,” kata Timbalan Menteri Pendidikan Datuk P. Kalamanathan.

Katanya, penggunaan buku-buku itu akan dimulakan oleh kohort 2018 prasekolah, murid Tahun 1 dan 2 serta murid Tingkatan 1 dan 2. Murid sekolah rendah akan menggunakan Super Minds dari Cambridge University Press, manakala pelajar menengah akan membaca Pulse 2 MacMillan.

Sehubungan itu menurut Tajuddin, beliau telah pun melihat buku teks yang diimport dan membandingkannya dengan buku-buku tempatan.

Katanya, buku-buku terbabit jauh berbeza dalam kualiti pembelajaran.

Malah kata beliau, membaca adalah kunci kepada penguasaan bahasa Inggeris yang baik.

Beliau berkata, kementerian perlu mengisi perpustakaan sekolah dengan pelbagai buku dan bukannya hanya berfokus kepada pelajar UPSR atau SPM.

Sementara itu, Pengerusi Kumpulan Bertindak Ibu Bapa bagi Pendidikan, Datin Noor Azimah Rahim berkata langkah terbaharu ini akan membantu meningkatkan kemahiran pelajar dalam bahasa Inggeris, sambil merujuk kepada penggunaan buku sedemikian di sekolah-sekolah swasta.

Beliau menambah, standard buku teks tempatan sekarang terlalu rendah, di mana ia menghalang pelajar mencapai tahap pembelajaran yang lebih tinggi.

Bagaimanapun, beliau turut melahirkan kebimbangan mengenai keupayaan guru tempatan untuk mengajar kurikulum baharu.

“Guru harus dapat mengendalikannya kerana kita menggunakannya mulai tahun depan,” kata beliau yang turut mendesak agar kementerian memastikn para guru menjadi lebih cekap dengan meningkatkan kemahiran masing-masing.