Reman 3 anggota TLDM disyaki bunuh disambung 7 hari

tldm_tentera_law_600

LUMUT: Tempoh reman 3 anggota Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) yang ditahan sejak 1 Oktober lalu bagi membantu siasatan kes kematian 2 anggota pasukan itu minggu lepas, dilanjutkan 7 hari lagi bermula esok.

Majistret Ainul Bashiirah Dona Don Biyajid mengeluarkan perintah itu ke atas ketiga-tiga suspek berusia 29, 37 dan 44 tahun di Mahkamah Majistret Seri Manjung di sini hari ini mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Ketiga-tiga mereka yang bertugas di bilik tahanan di Unit Komunikasi TLDM Sungai Wangi, Sitiawan ketika kejadian, tiba di pekarangan mahkamah kira-kira 8.50 pagi tadi sebelum dibawa keluar semula 1 jam kemudian.

Pada 1 Oktober lepas, LK 1 Muhammad Baihaqy Nik Mat, 28, dan LK 1 TLS Muhammad Lailatuliman Mohd Sukri, 26, meninggal dunia di bilik tahanan berkenaan dipercayai didera berdasarkan laporan bedah siasat Jabatan Patologi Hospital Raja Permaisuri Bainun di sini.

Bedah siasat yang dilakukan ke atas Nik Muhammad Baihaqy mendapati kematiannya disebabkan pendarahan paru-paru akibat trauma tumpul manakala Muhammad Lailatuliman meninggal dunia akibat pendarahan paru-paru serta trauma tumpul pada tisu lembut.

Semalam, mahkamah sama melanjutkan tempoh reman selama 4 hari ke atas 2 lagi anggota TLDM berumur 29 dan 37 tahun untuk membantu siasatan kes 2 anggota pasukan itu yang mendakwa mereka dicederakan di pusat tahanan sama.

Kedua-dua anggota itu yang berusia 30 tahun membuat laporan polis pada 2 Oktober lepas dan mereka kini dirawat di Hospital Angkatan Tentera di sini.

Kes itu disiasat di bawah Seksyen 325/506 Kanun Keseksaan kerana mendatangkan kecederaan parah dan melakukan ugutan jenayah.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohamad Fuzi Harun dilaporkan berkata sehingga kini polis menahan 7 orang yang kesemuanya bertugas sebagai pengawal bilik tahanan, dengan 5 suspek yang berusia 29 hingga 37 tahun disiasat mengikut Seksyen 302.

Dua daripada mereka turut disiasat mengikut Seksyen 325/506 kanun itu bersama-sama 2 lagi suspek yang lain.