Wan Junaidi arah fakta, data cuaca dikaji semula

wan-junaidi

KUCHING: Fakta dan data yang disimpan Jabatan Perparitan dan Saliran (JPS) kini sudah tidak lagi relevan dan kajian semula yang menyeluruh perlu diadakan, kata Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar, Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar.

Beliau berkata paten cuaca dan taburan hujan semasa kini sudah berubah di mana kawasan yang dahulunya tidak dilanda banjir kini mengalaminya.

Katanya beliau telah mengarahkan JPS, Jabatan Meterologi Malaysia dan National Hydraulic Research Institute of Malaysia (NAHRIM) menjalankan kajian semula yang dijangka siap pertengahan November ini sebelum dibentangkan kepada Jemaah Menteri.

“Walaupun sekiranya dalam Bajet 2018 yang akan dibentangkan tidak terdapat peruntukan khas untuk mengatasai masalah banjir, namun saya berharap masalah banjir diberi perhatian oleh pihak kerajaan,” katanya kepada pemberita selepas menyampaikan geran projek kecil luar bandar berjumlah RM247,920 kepada 71 pertubuhan dan persatuan, di sini hari ini.

Sementara itu beliau berkata, musim hujan sudah bermula di seluruh Malaysia dan Indonesia, manakala kuantiti hujan turut meningkat yang merupakan petanda awal akan berlaku banjir.

Wan Junaidi berkata beliau telah meminta Majlis Keselamatan Negara serta agensi berkaitan agar bersiap sedia dan segera bertindak dalam memberi bantuan kepada mangsa sekiranya berlaku banjir.

Sementara itu mengenai Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) , beliau yang juga Ahli Parlimen Santubong menyatakan hasrat untuk mempertahankan kerusi tersebut.

“Saya akan patuh kepada keputusan pucuk kepimpinan BN (Barisan Negeri) negeri dan pusat. Sekiranya ketua menteri dan perdana menteri bersetuju untuk saya dicalonkan semula, saya akan patuh,” katanya.

Beliau berkata beliau masih mendapat sokongan kuat pengundi dan telah berlaku banyak pembangunan di kawasannya.

“Malah pembangunan yang kerajaan bawa ke kawasan pilihan raya Santubong sejak saya menjadi wajil rakyat melebihi daripada yang dijangka,” tambahnya.