9 rumah kedai musnah dijilat api

burn-bagan

BUTTERWORTH: Deretan 9 buah rumah kedai setingkat musnah dalam kebakaran di Jalan Bagan Luar pagi tadi.

Kebakaran pada kira-kira 10.55 pagi itu memusnahkan 2 unit kedai makan dan sebuah kedai dobi serta 6 unit lagi adalah bangunan kosong yang semuanya didirikan daripada kayu dan batu.

Komander Operasi Kanan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pulau Pinang Mohd Shah Irwan Othman berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kebakaran itu pada 10.55 pagi dan jentera pertama tiba di lokasi kejadian 7 minit kemudian.

“Semasa pihak bomba tiba, api sedang marak dan sebahagian daripada 9 kedai itu telah musnah dalam kebakaran berkenaan. Kebakaran berjaya dipadamkan sepenuhnya pukul 12.15 tengah hari,” katanya hari ini.

Beliau berkata tiada kemalangan jiwa atau mangsa yang cedera dalam kebakaran itu kerana peniaga dan pelanggan yang berada di kedai terbabit sempat menyelamatkan diri sebaik menyedari terdapat asap dan api.

Mohd Shah Irwan berkata seramai 17 pegawai dan anggota bomba bersama 5 jentera dibantu 50 anggota Pasukan Bomba Sukarela (PBS) dari 6 PBS terlibat dalam operasi memadamkan kebakaran itu.

“Punca kebakaran dan jumlah kerugian masih dalam siasatan,” katanya.