Guru berdepan 14 tuduhan cabul 5 pelajar

guru-cabul-pelajar-malaysiaKUCHING: Seorang guru sekolah rendah di Serian didakwa di Mahkamah Sesyen hari ini dengan 14 pertuduhan mencabul kehormatan 5 pelajar bawah umur antara Mei dan Ogos tahun ini.

Lai Chee Hiang, 37, mengaku tidak bersalah dan minta dibicarakan atas semua pertuduhan.

3 pertuduhan dibuat terhadapnya mengikut Seksyen 377B Kanun Keseksaan kerana meliwat seorang pelajar lelaki berusia 11 tahun di pejabat hal ehwal pelajar sekolah berkenaan di Serian dalam tempoh itu.

Dia turut berdepan 3 pertuduhan menyentuh alat sulit mangsa di sebuah bilik darjah di sekolah sama dalam tempoh sama, mengikut Seksyen 14(a) Akta Kesalahan-kesalahan Seksual Terhadap Kanak-kanak 2017.

Seksyen 14 (a) akta itu memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan sebatan jika sabit kesalahan, manakala Seksyen 377B Kanun Keseksaan membawa hukuman maksimum penjara 20 tahun dan sebatan jika didapati bersalah.

Bagi pertuduhan ke-7, Lai didakwa menyentuh alat sulit seorang lagi pelajar lelaki berusia 11 tahun, bagi tujuan seksual di bilik stor sekolah sama dalam bulan Ogos, manakala pertuduhan ke-8 merujuk kepada kesalahan sama membabitkan seorang pelajar lelaki berumur 10 tahun, di bilik darjah sekolah sama dalam bulan sama.

Bagi pertuduhan kesembilan dan ke-10, Lai mengaku tidak bersalah menyentuh alat sulit seorang lagi pelajar lelaki berumur 10 tahun, bagi tujuan seksual di bilik darjah sekolah sama dalam bulan sama.

Pertuduhan ke-7, ke-8, ke-9, ke-10 dan ke-13 dibuat terhadapnya mengikut Seksyen 14(a) Akta Kesalahan-kesalahan Seksual Terhadap Kanak-kanak 2017, manakala pertuduhan ke-11, ke-12 dan ke-14 dibuat mengikut Seksyen 377E Kanun Keseksaan, membawa hukuman penjara sehingga 5 tahun dan sebatan jika sabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya Nor Azhari Yusof memohon mahkamah tidak membenarkan tertuduh diikat jamin, manakala peguam KC Wong yang mewakili Lai berhujah, pertuduhan terhadap anak guamnya kesalahan yang boleh dijamin.

Hakim Shafiza Abdul Razak Tready tidak membenarkan Lai diikat jamin dan berkata tarikh perbicaraan akan ditetapkan apabila kes itu disebut di Kompleks Mahkamah Samarahan di Kota Samarahan dekat sini pada 25 Oktober.