Kerajaan negeri harus larang Ibrahim Ali masuk Sabah, kata PH

christina-3

KOTA KINABALU: Pengerusi Pakatan Harapan Sabah Christina Liew menyeru kerajaan negeri supaya melarang Presiden Perkasa Ibrahim Ali memasuki negeri itu bagi mengelakkan radikalisasi rakyat Sabah.

Liew berkata langkah itu perlu bagi menjaga Sabah dan rakyat negeri itu dari ancaman radikalisasi oleh individu atau kumpulan seperti Perkasa.

“Radikalisasi akan menghancurkan kedamaian dan keharmonian yang sekian lama dinikmati oleh rakyat Sabah yang berbilang kaum, sebelum merdeka lagi,” kata Liew dalam kenyataan hari ini.

Liew menjawab kenyataan Ibrahim meminta kaum minoriti di Sabah untuk tidak membuat tuntutan tidak masuk akal dan bersyukur mereka diiktiraf sebagai rakyat Malaysia.

Ibrahim dilaporkan berkata kaum minoriti di Sabah tidak sepatutnya melampaui batas sehingga menafikan hak Orang Asal negeri itu.

Beliau merujuk kepada tuntutan komuniti Cina yang mahu Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC) diiktiraf.

Liew, yang juga pengerusi PKR Sabah, menepis kenyataan itu dan berkata Ibrahim yang bertindak tidak masuk akal.

“Adakah dia tahu apa yang dia cakapkan itu? Adakah dia tahu apa itu UEC?

“Adakah dia tahu kepentingan UEC hari ini dengan kebangkitan China sebagai kuasa ekonomi di dunia?” kata Adun Api Api itu.

“Bagaimana dia boleh ada pandangan seperti itu di mana pengiktirafan UEC ialah menafikan hak Orang Asal di Sabah atau memijak kepala mereka? Apa masalah dia?”

“Adakah dia tahu dia cuba memijak komuniti Cina di Sabah dengan melaga-lagakan mereka dengan Orang Asal Sabah?

“Apa motif sebenar dia? Atau, dia cakap tanpa berfikir semata-mata mahu tarik perhatian?”

Liew mengingatkan Ibrahim yang kerajaan Sarawak juga semasa pentadbiran Ketua Menteri Sarawak Tan Sri Adenan Satem pada 2015, secara rasmi mengiktiraf UEC untuk memasuki universiti awam dan membenarkan pemegang sijil itu mendapatkan pekerjaan dalam perkhidmatan awam.

“Adenan dipetik sebagai berkata kementerian pendidikan bodoh kerana tidak mahu mengiktiraf UEC yang diajarkan di 60 sekolah menengah Cina swasta, sijil yang diiktiraf universiti terkemuka dunia, sejak ia menyebabkan penghijrahan cendekiawan dalam sumber manusia kita yang berbakat.

“Kalau Ibrahim tidak tahu mengenai UEC, sila ambil maklum UEC diterima oleh universiti berprestif seperti Harvard, Yale, MIT, Oxford dan Cambridge.”

Liew berkata peringkatan Ibrahim meminta kenyataannya terhadap masyarakat Cina tidak dilihat sebagai rasis sesuatu yang melucukan, kerana beliau bercakap dalam kapasiti sebagai presiden Perkasa dan semua orang tahu pendirian Perkasa.

Beliau berkata bekas ahli Parlimen Pasir Mas itu pertama sekali harus pertahankan Orang Asli di negeri asalnya, Kelantan, ketika kampung dan hutan rizab mereka diceroboh pembalak, jika beliau serius dan bersungguh mempertahankan hak Orang Asal.

“Betul tindakan Kerajaan Sarawak melarang orang radikal seperti Ibrahim memasuki negeri itu tahun lalu.

“Kami benar-benar berharap kerajaan Sabah akan melakukan perkara yang sama,” katanya.

“Di Sabah tidak ada tempat untuk orang radikal menyebarkan rasisme dan fanatik politik atas nama memperjuangkan dan mempertahankan hak orang Melayu.

“Membenarkan Ibrahim dan Perkara datang ke Sabah menjalankan aktiviti mereka ialah menghantar mesej yang kerajaan negeri tidak mampu mempertahankan hak Orang Asal di Sabah,” katanya.

Ibrahim di persidangan tahunan khas Perkasa di Tuaran minggu lepas berkata mereka yang menafikan peranan Perkasa mempertahankan hak Orang Asal adalah rasis.

“Perkasa hanya mahu Orang Asal Sabah bersatu dan ketepikan sentimen agama dan tuntut hak mereka.”

Menurut beliau, Orang Asal di Sabah mesti tuntut hak mereka dalam pelbagai bidang, seperti perniagaan dan pendidikan.

“Mereka harus dapat lebih daripada kaum minoriti. Mereka mesti ada kawalan dalam semua bidang komersil, termasuk ekonomi dan tanah,” katanya.