Bekas archbishop KL kunjungi masjid untuk Kassim Ahmad

Archbishop-Emeritus-1
Murphy Pakiam berkunjung ke Masjid Al-Huda demi kawan rapatnya, Kassim Ahmad.

KULIM: Bekas archbishop Kuala Lumpur Tan Sri Murphy Pakiam mengunjungi masjid untuk cendekiawan Kassim Ahmad yang meninggal dunia hari ini, di Masjid Al-Huda di sini.

Pemimpin komuniti Kristian itu pernah berjiran dengan Kassim di Bukit Gelugor, Pulau Pinang pada 1960-an, dan sangat rapat dengan keluarga cendekiawan itu.

Beliau tampil memakai pakaian rasmi untuk melihat upacara solat jenazah sebelum pengebumian Kassim.

Bishop-2
Murphy Pakiam menunggu jemaah yang sedang bersiap sedia untuk menjalani solat Maghrib.

Kemudian, Pakiam menunggu jemaah menjalani solat maghrib dan duduk bersama mereka dalam sesi bacaan Al-Fatihah untuk Kassim.

Beliau kemudian menenami waris menyaksikan pengebumian Kassim di perkuburan yang terletak di belakang masjid.

Pakiam ketika ditemui pemberita berkata keluarganya mempunyai sejarah yang panjang dengan keluarga Kassim semasa beliau menjadi seorang pensyarah dan kemudian rektor di Seminari Tinggi Katolik di Pulau Tikus.

Bishop-1
Murphy Pakiam bersama isteri Kassim Ahmad, Shariffah Fawziah Syed Yussof Alsagoff (empat dari kanan) di masjid sebelum pengebumian.

“Rumah kami bersebelahan dengan rumah Kassim di Jalan Bunga Raya. Saya dan adik saya, Betty, sangat rapat dengan beliau dan keluarganya,” kata Pakiam.

Di matanya, Kassim seorang ahli akademi yang sangat berterus terang dan berani menyuarakan fikiran.

“Kassim sangat memahami Al-Quran, dan sebagai seorang sosialis, beliau menafsirkan Al-Quran dalam kerangka sosialis.

“Beliau juga seseorang yang merasakan wajib berkhidmat kepada rakyat. Saya meratapi pemergian beliau bersama ahli keluarganya, dan saya harap beliau aman di sana,” kata Pakiam.

Kassim dikebumikan di perkuburan Masjid Al-Huda di Jalan Kilang Lama, Kulim pada 7.32 petang tadi.