KOTA KINABALU: Adik kepada Presiden Parti Warisan Sabah, Datuk Seri Shafie Apdal direman 5 hari bagi membantu siasatan berhubung penyelewengan dana pembangunan luar bandar di negeri itu berjumlah RM1.5 bilion.
Majistret, Stephanie Sherron Abbie mengeluarkan perintah itu selepas mempertimbangkan hujah Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan peguam Hamid Apdal.
Peguam, Martin Tommy berkata, anak guamnya yang dikatakan ahli Umno Semporna dan ahli perniagaan, disiasat di bawah Seksyen 17(A) Akta SPRM.
Mohd Faliq Basirudin mewakili SPRM.
Hamid, 52, hadir di pejabat SPRM di Kota Kinabalu pagi semalam, selepas dipanggil untuk memberi keterangan, sebelum ditahan pada jam 9.30 malam tadi.
Semalam, FMT memetik sumber yang memaklumkan rumah Hamid di Taman Bersatu, Putatan turut digeledah penguat kuasa SPRM.
Penahanan Hamid itu menjadikan 7 individu direman berhubung kes berkenaan, setakat ini. Minggu lalu, SPRM berkata, ia menyasarkan untuk menyoal siasat 32 orang mengenai kes itu.
Enam individu lain adalah Naib Presiden Warisan, Datuk Peter Anthony, Ketua Pemuda Warisan, Datuk Azis Jamman, Ketua Pemuda Umno Tenom, Jamawi Jaafar, Ketua Pemuda Umno Tawau, Ariffin Kassim, seorang ahli perniagaan serta seorang bekas timbalan setiausaha menteri kemajuan luar bandar dan wilayah.
Menurut laporan, 350 projek di bawah Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah membabitkan dana awam bernilai RM7.5 bilion dipantau SPRM.
Projek berkaitan pembangunan prasarana air, elektrik dan jalan raya itu dilaksanakan di Kota Kinabalu, Kudat, Kota Belud, Ranau, Beaufort, Keningau, Lahad Datu, Tawau dan Sandakan, antara 2009 hingga 2015.