DAP: Apa gunanya peranti pengawasan jika boleh tanggal

dap-segambut

PETALING JAYA: DAP hari ini mempersoalkan keberkesanan peranti pengawasan elektronik (EMD) yang digunakan untuk mengawasi penjenayah selepas penangkapan sekumpulan gangster di Serdang baru-baru ini yang berjaya membuang peranti itu.

Menurut laporan akhbar Guan Ming Daily, polis Serdang berkata gangster itu dipakaikan peranti tetapi mereka berjaya menanggalkan alat itu 2 bulan lalu.

Adun Kampung Tunku Lau Weng San mendakwa dalam tempoh 2 bulan kumpulan itu tidak diawasi, mereka melakukan rompakan dan mengakibatkan banyak kerosakan.

Lau berkata polis tidak dapat ambil tindakan segera untuk menangkap mereka selepas peranti itu ditanggalkan.

“Malahan, kumpulan itu sudah bergerak ke seluruh negara, dan melakukan 10 kesalahan dalam 2 bulan.

“Polis harus menjawab perkara ini. Alat ini sepatutnya memastikan keselamatan awam.

“Adakah kita mengatakan peranti sebegitu tidak mampu berfungsi dengan sepatutnya, dan maka pindaan kepada Akta Pencegahan Jenayah (Poca) adalah sia-sia?” katanya pada sidang akhbar hari ini.

EMD diperkenalkan kerajaan 2 tahun lalu selepas meminda Poca, dan ianya untuk menyekat pergerakan penjenayah, banduan atau suspek agar keselamatan awam terjamin.

Lau berkata, sepatutnya polis patut diberi amaran apabila peranti itu ditanggalkan atau dirosakkan, dan juga patut tahu di mana penjenayah berada pada setiap masa.

Sementara itu, ahli DAP Lim Lip Eng berkata Bukit Aman tahun lepas meyakinkan yang dengan tali pengikat, tag pintar dan lampu isyarat yang dipasang, mereka dapat awasi pesalah dari mana-mana sekali pun, 24 jam sehari.

Ahli Parlimen Segambut itu berkata bekas ketua penolong pengarah Bahagian Antimaksiat, Perjudian dan Kongsi Gelap (D7) Datuk Roslee Chik juga berkata sistem EMD itu membolehkan polis diberi amaran menerusi SMS jika pesalah cuba lari daripada kawasan sekatan, memotong tali pengikat atau apabila bateri tag pintar rendah.

Menurut Lim, Roslee juga berkata ini akan menyingkirkan keperluan untuk polis mengawasi skrin setiap masa, dan cubaan melepaskan diri daripada memakai EMD itu mengarut kerana ianya mustahil.

“Nampaknya, apa saja yang dikatakan beliau tahun lepas menjadi sia-sia. Tiada apa pun yang dikatakan adalah benar berdasarkan kejadian baru-baru ini.

“Kami tiada pilihan melainkan mengajukan soalan paling penting iaitu, adakah kontrak untuk EMD itu diberikan secara rundingan langsung atau tender terbuka? Adakah ianya diberikan kepada mana-mana kroni? Adakah peranti itu canggih atau kualitinya lebih rendah daripada yang ditetapkan”

Lim juga meminta polis menyatakan jumlah peranti yang rosak, berapa ramai banduan yang sedang bebas, dan jika mereka telah membawa bahaya kepada orang ramai.

“Juga, apa telah berlaku kepada polis yang sepatutnya mengawasi pergerakan penjenayah itu? Sedang tidur? Adakah mereka ditukar ke jabatan lain tanpa tindakan disiplin?

“Polis patut mengumumkan perkara ini kepada orang ramai, bukan kami.

“Polis juga mesti memberitahu kami sama ada pemakaian peranti seperti itu patut ditangguhkan, dan sama ada mereka yang memakai peranti itu dihantar semula ke penjara sementara menunggu hasil siasatan.

“Saya juga mahu Bukit Aman menganjurkan lawatan ke pusat yang sepatutnya mengawasi EMD itu, untuk wakil rakyat kedua-dua belah pihak dan juga media, untuk membuktikan sistem EMD ini masih berfungsi,” katanya.

Antara Ogos 2015 dan Februari 2016, sebanyak 335 penjenayah dipakaikan peranti itu.