Kuliah selar sultan: Gabungan bukan Islam tuntut Zamihan minta maaf

rs-mohan

PETALING JAYA: Gabungan terbesar negara mewakili agama bukan Islam di Malaysia menggesa pegawai Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), Zamihan Mat Zin, memohon maaf kepada Sultan Johor dan juga orang bukan Islam, selepas kuliah agamanya menyokong konsep dobi “mesra Islam” sambil menganggap orang Cina tidak bersih.

Majlis Perundingan Bagi Agama Buddha, Kristian, Hindu, Sikh dan Tao Malaysia (MCCBCHST) turut melahirkan rasa terkejut dengan ucapan Zamihan di Masjid Diraja Tengku Ampuan Jemaah di Shah Alam baru-baru ini, yang berkata pakaian umat Islam dan bukan Islam tidak boleh bercampur, mengulas arahan Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar bulan lalu menutup sebuah kedai dobi di Muar yang dikhaskan untuk pelanggan Islam.

“Kenyataan ini nampak sensitif sangat dan saya tidak faham macam mana dia boleh katakan Sultan Johor itu salah,” kata Presiden MCCBHST, Datuk RS Mohan Shan.

“Apa yang dikatakan Sultan Johor betul. Ini bukan negara Taliban, ini Malaysia. Di sini semua kaum bersatu padu. Dia juga keluarkan perkataan kasar terhadap kaum Cina,” katanya kepada FMT.

Zamihan dalam kuliah yang dirakamkan hujung minggu lalu mempersoalkan kritikan Sultan Johor terhadap pemilik dobi Elit Laundy, sambil menyifatkan orang bukan Islam tidak tahu menyucikan diri selepas membuang air besar.

“Kita ini negara Islam, pemimpin Islam, raja Islam, sultan Islam. Semua sumpah, wallahi, wabillahi… nak buat dobi ‘for Muslims only’ pun tak boleh, kita kata jumud, kita kata Taliban,” kata Zamihan.

Zamihan berkata orang Cina tidak membasuh diri selepas membuang air dan mereka “sinonim” dengan anjing, babi dan arak.

“Bagaimana tentang darah haid mereka pada pakaian dalam mereka? Ada peluk anjing, ada dakap anjing, minum arak, tumpah arak, makan babi, sup babi, kena pada pakaian.

“Itu semua sinonim dengan mereka,” katanya.

Mohan mahu pihak berkuasa menyiasat kenyataan yang dikeluarkan Zamihan.

Sementara itu, MCA berkata parti itu mengecam dasar perniagaan untuk “orang Islam sahaja” termasuk dobi “mesra Muslim” di Johor dan seumpamanya, menyifatkannya “bersifat keterlaluan”.

“Agama Islam tidak seharusnya digunakan untuk aibkan mana-mana kaum. Rakyat seharusnya akur pada ketetapan Majlis Raja-raja Melayu,” kata ahli Jawatankuasa Pusat MCA, Datuk Seri Ti Lian Ker, merujuk kenyataan Majlis Raja-raja semalam yang menyelar pihak yang memperalatkan agama Islam dalam menyemai kebencian kaum.

Ti berkata Zamihan perlu insaf dan taubat menghormati ketetapan yang dibuat oleh Majlis Raja-raja.

Beliau berkata kenyataan Zamihan terlalu emosional dan menunjukkan sikap tidak matang.

“Zamihan tidak seharusnya membuat andaian secara am terhadap mana-mana kaum. Jika sikap ini berterusan ia tidak baik.

“Zamihan sendiri perlu insaf dan merendah diri dengan menarik balik kenyataan beliau yang agak mencabar institusi dan Raja sebagai simbol kemerdekaan dan kedaulatan Bangsa Malaysia,” katanya.