DAP persoal sikap membisu kerajaan selepas peringatan raja Melayu

lim-kit-siang_raja-raja-melayu_600

PETALING JAYA: DAP hari ini mengalu-alukan pandangan Majlis Raja-raja Melayu pada Selasa lalu yang bimbang dengan keharmonian dan perpaduan negara, tetapi hairan mengapa kenyataan itu tidak menerima reaksi daripada kerajaan.

“Kenapa tiada reaksi daripada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak dan Kabinet selepas 2 hari kenyataan Majlis Raja-raja Melayu dikeluarkan?” soal veteran DAP, Lim Kit Siang.

“Adakah kebimbangan Raja-raja Melayu ini menjadi agenda mesyuarat mingguan Kabinet semalam? Jika tidak, mengapa tidak? Jika ya, apakah hasil perbincangannya.”

Majlis Raja-raja Melayu dalam kenyataannya menyokong pendirian istana Johor dan Perlis dalam membidas sebarang diskriminasi agama, termasuk sebuah kedai dobi di Muar yang mengundang kemarahan awam kerana enggan menerima pelanggan bukan Islam atas alasan “kesucian”.

Menurutnya, tindakan seperti itu menjejaskan keharmonian agama di samping implikasi lebih mendalam sekiranya nama Islam diperalatkan.

“Imej Islam sebagai agama yang menggalakkan penganutnya bersikap toleran, sederhana dan inklusif wajib dipertahankan daripada dicemari oleh tindakan-tindakan yang bersifat keterlaluan dan memisahkan rakyat,” kata kenyataan itu pada 10 Oktober.

Lim berkata rakyat Malaysia dapat melihat peningkatan ekstremisme dan ketaksuban, di samping kehilangan peranan kerajaan menegakkan sikap sederhana dan inklusif sejajar dengan semangat Perlembagaan Malaysia.

“Kelihatan menteri Kabinet lupa bukan sahaja prinsip asas pembangunan negara yang termaktub dalam Perlembagaan Malaysia, malah mereka hilang terus prinsip Rukun Negara yang disebut dalam kenyataan Majlis Raja-Raja Melayu,” katanya.

Lim mencabar ahli politik dan wakil rakyat bersedia mengesahkan sokongan dan kesetiaan mereka kepada Perlembagaan Malaysia dan Rukun Negara apabila Dewan Rakyat bersidang pada 23 Oktober nanti.

“Saya tahu ada ahli Parlimen yang tidak sokong Rukun Negara,” katanya.

“Jelas sekali, inisiatif Najib untuk Pergerakan Kesederhanaan Global (GMM) sekali lagi terbukti tidak global, pertama selepas peletakan jawatan Ketua Pegawai Eksekutif GMM, Datuk Saifuddin Abdullah yang kini menjadi ketua setiausaha sekretariat Pakatan Harapan dan kini dengan kenyataan Majlis Raja-raja Melayu.