Mahkamah perintah Najib, Zahid failkan pembelaan langgar ikrar

najib_law_zahid_600PETALING JAYA: Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak dan Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi diperintah memfailkan pembelaan sebelum 27 Oktober atas dakwaan melanggar sumpah jawatan mereka.

Peguam kepada bekas pemimpin Umno Datuk Seri Khairuddin Abu Hassan, Syed Iskandar Syed Al Mahdzar berkata Timbalan Pendaftar Mahkamah Tinggi M Pavani juga memerintah kedua-dua itu memfailkan permohonan untuk membatalkan saman anak guamnya sebelum 10 November.

“Peguam mewakili Najib dan Zahid memaklumkan Pavani yang beliau masih belum menerima arahan untuk membatalkan (saman) tetapi mahkamah memberi tempoh masa memfailkan dokumen,” kata Syed Iskandar kepada pemberita.

Peguam Yazid Mustaqim Roslan tampil mewakili Najib dan Zahid.

Pengurusan kes seterusnya pada 15 November akan diadakan di hadapan Hakim Datuk Ahmad Zaidi Ibrahim.

Khairuddin, pengkritik lantang terhadap syarikat pelaburan 1MDB, dalam pernyataan tuntutannya, berkata kedua-dua pemimpin itu tidak layak berada dalam Kabinet kerana mengelirukan rakyat yang RM2.6 bilion dalam akaun Najib adalah daripada penderma Arab.

Beliau berkata Najib dan Zahid melanggar sumpah jawatan mereka, yang dipreskripsi bawah Jadual 6, untuk memelihara, melindungi dan membela Perlembagaan Persekutuan.

Bekas naib pengerusi Umno Batu Kawan itu yang dipecat pada 2015, mahukan pengisytiharan dibuat yang mengatakan Najib tidak layak memegang jawatan perdana menteri atau menjadi ahli Kabinet bawah Perkara 43 Perlembagaan Persekutuan.

Khairuddin juga mahukan pengisytiharan sama dibuat ke atas Zahid yang juga menteri dalam negeri, sebagai tidak layak memegang sebarang jawatan dalam Kabinet.

Kedua-duanya menjadi pemegang amanah jawatan mereka dari segi undang-undang dan sepatutnya tidak memberi gambaran yang salah atau mengelirukan atau mengelirukan mereka mengenai isu material, kata Khairuddin.

Menurutnya, dalam bulan Mac 2013, sebanyak AS$681 juta (RM2.6 bilion) yang beliau dakwa milik 1MDB dimasukkan ke akaun peribadi Najib.

Beliau berkata Najib beberapa kali menafikan secara terbuka yang wang itu milik 1MDB dan sebaliknya mengumumkan ianya daripada seorang penderma Arab.

“Hakikatnya, duit itu datang daripada syarikat Tanore Corporation Finance yang dikawal oleh Low Taek Jho atau Jho Low,” tambah Khairuddin.

Menurutnya lagi, Zahid juga mengumumkan di Dewan Rakyat yang beliau bertemu penderma atau penderma-penderma AS$681 juta itu.

Khairuddin mengatakan Najib dan Zahid sudah melanggar ikrar mereka dengan membuat kenyataan palsu dan ini satu kemungkiran kepada kepercayaan yang diletakkan ke atas mereka oleh rakyat.