Mr Y, Chang dan Hanamori turut terlibat serang Jong Nam, kata saksi

jongnamSHAH ALAM: Seorang pegawai polis yang menyiasat kes kematian Kim Jong Nam hari ini memberitahu Mahkamah Tinggi di sini mengenai peranan 4 orang suspek yang masih lagi bebas.

ASP Wan Azirul Nizam Che Wan Aziz yang bertugas sebagai pegawai penyiasat kanan dengan Polis Sepang, berkata tertuduh Siti Aisyah, 24, dan Doan Thi Huong, 29 memberikan 4 nama padanya, iaitu “Mr Chang”, “James”, “Mr Y” dan “Hanamori”, atau nama lainnya “grandpa” serta “uncle”.

Jelas Wan Azirul, Mr Y masuk bersama Doan ke balai pelepasan Lapangan Terbang Kuala Lumpur 2 (klia2).

“Mr Y menyapu cecair ke atas Doan dan juga beli tiket teksi untuk (Siti) Aisyah,” katanya menjawab pertanyaan Timbalan Pendakwaraya Wan Shaharuddin Wan Ladin.

Mengenai peranan Mr Chang pula, Wan Azirul berkata dia merupakan lelaki yang menyapu cecair pada tangan Siti Aisyah,” katanya.

Menurutnya, Hanamori adalah orang yang memberikan arahan kepada Mr Y.

“James pula berperanan sebagai orang yang merekrut Siti Aisyah,” jelasnya.

Siti Aisyah, warga Indonesia dan Duon, warga Vietnam, menghadapi tuduhan membunuh Jong Nam, yang juga abang tiri kepada diktator Korea Utara Kim Jong Un, pada 13 Februari lalu.

Mereka didakwa di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 34, membawa hukuman mati jika sabit kesalahan.