Dasar pendidikan tahfiz dilaksana selepas Majlis Raja-Raja setuju

wajdi-tahfizPASIR PUTEH: Dasar Pendidikan Tahfiz Negara akan dilaksanakan sebaik mendapat perkenan Majlis Raja-Raja, kata Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki.

Beliau berkata dasar itu yang bakal digunakan sebagai garis panduan kepada pusat tahfiz termasuk milik swasta kini di peringkat akhir untuk mendapat perkenan.

“Dasar ini bukan satu bentuk undang-undang dan peraturan tetapi berupa syor untuk menjadikan model tahfiz terbaik,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan majlis sumbangan bantuan institut tahfiz yang berdaftar dengan Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (Maik) di Tok Bali hari ini.

Kerajaan persekutuan meluluskan peruntukan lebih RM1.7 juta kepada 34 pusat tahfiz di Kelantan tahun ini.

Asyraf Wajdi berkata menerusi dasar pendidikan tahfiz itu, kerajaan melalui Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) akan mengesyorkan langkah terbaik yang perlu dilakukan oleh pusat tahfiz termasuk dari aspek keselamatan, operasi, pengurusan selain menyalurkan bantuan tahunan.

“Langkah itu boleh dijadikan sandaran kepada rakyat untuk menghantar anak-anak mereka ke pusat-pusat berkenaan dan tidak lagi menjadi sebagai pilihan ke-2 dan ke-3 selepas gagal menyambung pengajian di institusi pengajian tinggi,” katanya.

Ketika berucap pada majlis itu, beliau berkata kerajaan persekutuan akan terus memperkasakan sistem pendidikan Islam termasuk institusi tahfiz dan pondok agama dalam usaha mencapai inspirasi melahirkan golongan profesional yang mempunyai kebolehan ilmu dunia dan akhirat.

Beliau berkata kerajaan menyasarkan 125,000 orang hafiz dan hafizah Al-Quran yang berkalibar yang turut mempunyai kepakaran dalam bidang kedoktoran, jurutera dan akauntan menjelang tahun 2050.

Katanya, seramai 6,000 hafiz dan hafizah dapat dilahirkan menerusi sistem pendidikan Darul Quran dan sekolah agama Ulul Albab di seluruh negara setakat ini.