Detik cemas: Penumpang dakwa tidak faham rakaman pesawat AirAsia

Air-AsiaSYDNEY: Penerbangan AirAsia dari Australia ke Indonesia terpaksa berpatah balik ke Perth selepas kabin hilang tekanan pesawat, dan para penumpang menceritakan detik cemas apabila topeng oksigen terkeluar dari siling pesawat.

AirAsia berkata pesawat mengalami “masalah teknikal” dan media Australia melaporkan pesawat terpaksa turun dari 32,000 kaki (9,753 m) ke 10,000 kaki selepas 25 minit berlepas.

Video yang tersebar di internet memaparkan penumpang memakai topeng oksigen semasa penggera berbunyi, sementara kakitangan AirAsia mengarahkan penumpang mengambil kedudukan untuk menerima impak.

“Saya mengambil telefon dan menghantar pesanan teks kepada keluarga dengan harapan mereka akan menerimannya,” kata seorang penumpang, Leah, kepada televisyen Channel 9. “Ia sangat dahsyat.”

Seorang lagi pelancong berkata lebih menakutkan apabila penumpang tidak tahu apa yang sedang berlaku.

“Kami tidak tahu apa yang berlaku kerana semua rakaman suara dalam pesawat itu bercakap dalam semua bahasa kecuali bahasa Inggeris,” katanya.

AirAsia memohon maaf atas insiden itu dan menyalahkan “masalah teknikal” tanpa menghuraikan punca kejadian.

“Keselamatan penumpang dan anak kapal keutamaan kami,” kata syarikat penerbangan murah tersebut dalam satu kenyataan.

“AirAsia meminta maaf kepada penumpang atas sebarang kesulitan.”

Sebelum ini dilaporkan beberapa penerbangan terpaksa berpatah balik ke Australia, termasuk penerbangan AirAsia Gold Coast ke Kuala Lumpur pada Julai yang dikatakan disebabkan serangan burung.

Penerbangan Qantas dalam perjalanan ke Dallas berpatah balik ke Sydney pada September selepas kepak sayap tidak dapat ditarik balik, sementara pesawat Johannesburg berpatah balik ke Sydney pada minggu yang sama apabila keretakan di cermin ditemui.