Militan Isnilon Hapilon, Omar Maute disahkan maut di Marawi

maute-terroristKOTA KINABALU: Dua militan tertinggi pro-IS, Isnilon Hapilon dan Omar Maute terbunuh dalam pertempuran dengan tentera di Marawi, selatan Filipina, tengah malam tadi.

Perkara itu disahkan Setiausaha Pertahanan Filipina, Delfin Lorenzana yang dilaporkan akhbar Filipina, Inquirer.

Portal berita Filipina, Rappler memetik sumber sebagai berkata, Hapilon yang dikehendaki Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (Esscom) untuk jenayah rentas sempadan di perairan pantai timur Sabah, dan Omar dibunuh tentera untuk menyelamatkan tebusan.

AP memetik 4 pegawai tentera dan polis sebagai berkata, Hapilon yang merupakan antara suspek keganasan paling dikehendaki FBI, dan Omar dibunuh ketika berbalas tembakan dengan tentera Filipina. Mayat mereka ditemui di Marawi hari ini.

Rappler melaporkan tentera Filipina dijangka meneruskan operasi membersihkan medan perang terakhir dan bahan letupan buatan militan.

“Kami meningkatkan operasi bagi melindungi sempadan di pantai timur dengan selatan Filipina untuk memastikan tiada saki-baki militan memasuki perairan negara,” kata Komander Esscom, Datuk Hazani Ghazali kepada FMT.

Militan dilaporkan menyerah diri selepas kematian pemimpin mereka dan ada yang bimbang militan akan melarikan diri ke kawasan lain di selatan Filipina, Indonesia serta Malaysia.

Hapilon ialah pemimpin Abu Sayyaf yang juga emir IS di Asia Tenggara, manakala Omar pula ialah pengasas bersama kumpulan militan Maute.

Bulan lalu, media Filipina, Malaya Business Insight memetik Ketua Angkatan Tentera Filipina Eduardo Ano berkata, Abdullah Maute yang juga pengasas kumpulan Maute disahkan terbunuh, berdasarkan keterangan militan yang menyerah diri.

Lebih 1,000 orang yang kebanyakannya militan terbunuh dalam pertempuran antara kumpulan militan dan tentera Filipina di Marawi sejak 23 Mei lalu.