Pekilang setuju cadangan guna pekerja asing dalam sektor pembuatan

fmm-pekerja-kilangPETALING JAYA: Persekutuan Pekilang-pekilang Malaysia (FMM) menyambut baik dasar menggunakan 100% khidmat pekerja asing dalam sektor pembuatan berorientasikan eskport memandangkan pekerja tempatan tidak lagi berminat bekerja dalam tertib pengeluaran.

Memetik tinjauan FMM-Institut Penyelidikan Ekonomi Malaysia (MIER), FMM berkata 50% daripada responden yang menggaji pekerja asing sangat berorientasikan eskport, iaitu lebih 25% daripada jualan keseluruhan. Pekerja asing membentuk 60% kakitangan responden yang mengeksport lebih 50% daripada jualan keseluruhan.

“Langkah seterusnya adalah memastikan kriteria tertentu dan garis panduan yang telus dilaksanakan secara berterusan oleh pihak berkuasa yang terlibat di seluruh negara dan memaparkannya di laman web mereka bagi tujuan semakan dan verifikasi.

“Ini penting bagi membantu menjimatkan kos menjalankan perniagaan,” kata FMM lagi.

FMM bagaimanapun berkata, 68% responden berkata automasi proses pengeluaran yang lebih giat – melebihi paras 30% – boleh dilakukan, yang boleh mengurangkan lagi kebergantungan kepada pekerja asing.

Penemuan tinjauan setengah tahun pertama 2017 Ogos lalu itu harus menyakinkan kerajaan yang sektor pembuatan komited menaiktaraf proses pengeluaran dan meningkatkan automasi, kata FMM.

“Matlamat itu perlukan bekalan tenaga kerja mahir dan teknikal yang berkualiti dan kami mengharapkan sistem pendidikan negara untuk memenuhi keperluan itu.”

Timbalan Menteri Dalam Negeri Datuk Nur Jazlan Mohamed sebelum ini berkata, kerajaan sedia mempertimbangkan permohonan pengambilan 100% pekerja asing dalam sektor pembuatan bagi memenuhi keperluan pengilang di bahagian pengeluaran produk.

Nur Jazlan bagaimanapun berkata, dasar itu terhad kepada pengilang sektor pembuatan yang mengeksport produk masing-masing ke luar negara.

Cadangan itu menerima bantahan daripada pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan pembela golongan pekerja.

Ketua Pegawai Eksekutif Majlis Tindakan Ekonomi Melayu (MTEM) Ahmad Yazid Othman memohon agar kerajaan mempertimbangkan cadangan berkenaan kerana dilihat tidak praktikal dan bakal memberi kesan seperti pengurangan tenaga kerja mahir dalam negara, terutama di sektor berkenaan.

“Biarpun pertimbangan itu hanya akan dibuat untuk penggajian pekerja di barisan pengeluaran sahaja, yakni pekerja berkemahiran rendah dan bukannya seluruh operasi kilang atau syarikat, namun ia perlu diperhalusi kerana bimbang sektor lain turut memohon pengambilan 100% pekerja asing di masa akan datang,” katanya.

Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) juga menggesa Kabinet membatalkan keputusan berkenaan.

Setiausaha Agung MTUC J Solomon berkata, dasar terbaharu itu sesuatu yang mengejutkan dan tidak wajar sama sekali.

MTUC berpendapat kenyataan Nur Jazlan itu menunjukkan kerajaan bergerak ke belakang dalam usaha mengurangkan kebergantungan ke atas pekerja asing.

“Sepatutnya kerajaan harus terus memperketatkan pengambilan pekerja-pekerja asing bagi mengurangkan kebergantungan ke atas mereka buat selama-lamanya,” katanya.