Bas dan tren di London berusaha hapuskan jenayah anti-Islam

Sophie-Linden-Bas-dan-tren-di-LondonPETALING JAYA: Pihak berkuasa pengangkutan awam London melancarkan kempen membanteras jenayah kebencian terhadap umat Islam di semua bas dan kereta api di London.

Akhbar Evening Standard melaporkan ia dilakukan dengan kerjasama polis, mengadakan lebih 200 acara untuk meyakinkan orang ramai bahawa sistem pengangkutan awam London selamat untuk semua lapisan masyarakat.

Kempen itu dijalankan di Masjid East London, Stesen Bas Stratford dan 25 laluan sibuk dari Whitechapel ke Stratford untuk menyokong Minggu Kesedaran Jenayah Kebangsaan.

Timbalan Datuk Bandar bagi Polis dan Jenayah, Sophie Linden berkata: “Jenayah kebencian dalam apa jua bentuk tidak ada tempat di London dan Datuk Bandar dengan jelas mengarahkan polis mengambil pendekatan sifar toleransi terhadap jenayah tersebut. Kita semua perlu bekerjasama untuk menangani jenayah dahsyat ini.”

Manakala, Ketua Pegawai Eksekutif Masjid East London, Nozmul Hussain berkata mesejnya ialah penumpang tidak perlu takut untuk melaporkan insiden kebencian kepada polis.

“Kami tidak akan bertolak ansur dengan mereka yang berusaha memisahkan kita melalui kebencian dan ketaksuban. Kita akan sentiasa bersatu.”

Antara April dan Jun tahun ini, jenayah kebencian meningkat sebanyak 25% dengan 822 kes berbanding 655 kes tahun lepas.

Tahun lepas, sistem pengangkutan awam London bekerjasama dengan polis bandar raya itu dalam “Operasi Perjalanan Selamat Untuk Semua” dan kempen #WeStandTogether untuk menggalakkan mangsa jenayah kebencian membuat laporan supaya tindakan boleh diambil terhadap pesalah.

Sebelum ini, dilaporkan beberapa siri serangan berlaku di London, antaranya 3 penyerang memandu sebuah kenderaan merempuh pejalan kaki di London Bridge, sebelum menikam orang ramai di Borough Market pada Jun.

Mei lalu, sebuah letupan bom di konsert bintang remaja Amerika Syarikat, Ariana Grande di Manchester meragut “puluhan nyawa”.

Kedua-dua insiden itu dikaitkan dengan penganut Islam dan dilihat sebagai faktor keganasan terhadap umat Islam lain.