Kanak-kanak tadika hayati sejarah Deepavali, cara buat muruku

marukufmt-ohsem-inside-article1Tinggal beberapa hari sahaja lagi untuk menyambut perayaan Deepavali dan Pengetua Tadika Minda Pintar Cemerlang di Taman Muara Esbee, Jeram, K Revathy merancang beberapa aktiviti sempena festival itu.

Sebelum itu beliau kena pastikan kanak-kanak sekecil 5 dan 6 tahun sedar makna di sebalik sambutan yang signifikan dengan penjelasan “kebaikan menentang kejahilan” itu.

“Rata-rata 36 kanak-kanak di tadika itu tidak mengenali erti sebenar sambutan Deepavali. Mereka sambut perayaan itu tetapi hanya mengenali makanan yang berkaitan dengan sambutan itu, bukan sebab atau sejarah di sebaliknya.

“Kelakarnya apabila saya minta mereka tanya ibu bapa, semua pulang tangan kosong. Ibu bapa pun tidak tahu atau mempunyai ‘kisah’ versi sendiri yang dikaitkan dengan perayaan ini,” kata Revathy yang mengendalikan tadika di pinggir bandar Jeram sejak 7 tahun lalu.

Kebanyakan murid di tadika ini terdiri daripada keluarga kurang berkemampuan atau di bawah garis kemiskinan. Rata-rata ibu bapa mereka pekerja estet atau ladang di sekitar kawasan Jeram, pemandu lori, pekerja upah harian dan pekerja kilang.

“Mamandangkan ini adalah tadika Tamil dan kami mempersiapkan kanak-kanak ke sekolah Tamil, saya selalu memastikan mereka juga dibekalkan dengan pengetahuan di luar silibus sekolah.

“Misalnya seperti hari ini, saya mendedahkan mereka dengan pengetahuan perayaan Deepavali,” kata Revathy yang turut menganjurkan pelbagai aktiviti sempena pelbagai perayaan dan sambutan.

Sebelum ini, beliau pernah melakukan perkara sama untuk sambutan Tahun Baru Cina, Hari Raya, Hari Kemerdekaan dan Hari Malaysia.

maruku1Pada pagi itu, Revathy menyediakan sebuah projektor berskrin besar dan dapur di bahagian laman hadapan tadikanya di samping barisan meja serta kerusi di hadapan dapur.

“Hari ini kita akan belajar sejarah di sebalik sambutan Deepavali dan cara membuat muruku,” terik Revathy yang diikuti gelak tawa serta tepukan daripada kanak-kanak.

Kanak-kanak jelas teruja pada pagi itu apatah lagi mengambil bahagian dalam sesi memasak muruku yang ditunggu-tunggu.

Pagi itu, Revathy yang turut ditemani 3 lagi guru memainkan filem animasi sejarah Deepavali kisah Raja Raksasa Naragasura mewakili kejahatan yang dibunuh oleh Dewa Krishna mewakili kebaikan.

Ia diikuti sesi penerangan secara lanjut dan maklumat lain yang menjadi rutin di pagi hari Deepavali.

“Kami menjelaskan rutin mandi minyak yang diamalkan turun temurun, signifikan di sebaliknya, sebab berpakaian baharu, tujuan ke kuil, mendapatkan restu orang tua dan amalan menjemput rakan-rakan bukan India ke rumah untuk disambut bersama.

“Mereka banyak bertanya, walaupun masih kecil, sikap ingin tahu itu sangat menebal,” katanya. Revathy juga mendedahkan sesetengah kanak-kanak dari keluarga tidak berkemampuan di tadikanya tidak meraikan perayaan Deepavali seperti kanak-kanak bertuah yang lain.

Bagi menambahkan keterujaan, kanak-kanak juga diberi peluang membuat muruku mereka sendiri.

“Kami amat berhati-hati dalam memastikan keselamatan murid, jadi hanya dapur induksi (tanpa gas) digunakan dan ia pula di tempatkan jauh dari tempat duduk kanak-kanak di laman, dengan pengudaraan terbuka.

“Kanak-kanak dibenarkan ‘bermain’ dengan doh, sekadar memutar pembuat muruku untuk mendapatkan bentuk putaran sebelum digoreng oleh para guru,” kata Revathy.

Jelas, kanak-kanak tersebut ghairah sepanjang sesi tersebut kerana lazimnya mereka dilarang daripada ”menganggu” ibu bapa ketika memasak ataupun tidak berpeluang memasaknya atas faktor kemiskinan.

Di samping pengalaman “hands-on” menyediakan doh muruku, kanak-kanak dari keluarga kurang bekemampuan juga dibenarkan membawa pulang makanan tersebut.

“Bila kami benarkan mereka membawa pulang muruku yang dibungkus dalam pek kecil, mereka bukan main seronok lagi.

“Keinginan untuk menikmati makanan dan biskut sempena perayaan seperti Deepavali dapat dilihat daripada air muka kanak-kanak ini. Oleh itu, kami di Tadika Minda Pintar Cemerlang juga merancang untuk membuat majlis Deepavali lengkap dengan pelbagai jenis hidangan sebaik tamat cuti sekolah nanti,” katanya.