Saya tidak hina Zamihan, kata Khalid Samad

Khalid-Samad-zamihan-mat-zin-book-bgPETALING JAYA: Pengarah Komunikasi Amanah Khalid Samad menafikan beliau menghina Presiden Pertubuhan Ahli Sunnah Wal Jamaah Malaysia (Aswaja) Zamihan Mat Zin apabila mendakwa pendakwah kontroversi itu mempunyai “godfather” yang melindunginya.

Beliau memberitahu FMT, beliau tidak akan memohon maaf kepada Zamihan walaupun diancam dengan tindakan undang-undang.

“Dia mempunyai hak untuk menyaman saya jika dia mahu, tetapi sejujurnya saya tidak tahu atas sebab apa kerana saya tidak menghina dia,” katanya.

Zamihan semalam mengeluarkan kenyataan mengarahkan Khalid sama ada meminta maaf atau membuktikan beliau dilindungi individu berpengaruh yang disebut ahli parlimen Shah Alam itu sebagai “godfather”.

Beliau berkata akan mengambil tindakan undang-undang jika Khalid tidak berbuat demikian.

Khalid berkata kenyataan “godfather” yang disebutnya adalah berupa pujian.

“Ini bermakna dia diperhatikan seseorang, yang bermaksud dia mendapat sokongan. Apa yang dikatakan menghina?

“Saya harap saya mempunyai ‘godfather’, jadi mungkin saya tidak akan dihadapkan ke mahkamah syariah kerana didakwa mengajar Islam tanpa tauliah.

“Mungkin dia rasa istilah ‘godfather’ itu ada kaitan dengan Tuhan atau gereja. Ia sebenarnya tidak.”

Khalid mendakwa insiden yang berlaku terhadap Zamihan yang mencetuskan kontoversi selepas didakwa mengkritik Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar membuktikan pendakwah itu dilindungi.

“Selepas dia bercakap mengenai Sultan Johor, Ketua Pengarah Jakim (Jabatan Kemajuan Islam Malaysia) dan seorang menteri cuba menghadap Sultan Ibrahim untuknya. Dia jelas dilindungi.

“Dan kedua-dua individu mungkin ‘godfather’ sebenar atau mungkin mereka bekerja untuk ‘godfather’ sebenar. ”

Jakim sebelum ini berkata sedang berusaha menghadap Sultan Ibrahim berikutan Sultan Johor itu mengarahkan Jabatan Agama Islam Negeri Johor (Jainj) menghentikan semua urusan dengan jabatan itu.

Ketua Pengarah Jakim Tan Sri Othman Mustapha baru-baru ini menyatakan beliau dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Jamil Khir Baharom akan bertemu dengan Sultan Johor.

Zamihan baru-baru ini terlibat dengan kontroversi selepas beliau mengkritik Sultan Ibrahim yang membidas dobi “mesra Muslim” dan menggambarkan orang Cina Malaysia sebagai tidak bersih.

Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah juga mengarahkan Majlis Agama Islam Selangor (Mais) menarik balik tauliah Zamihan.

Zamihan cabar Khalid buktikan dakwaan dilindungi ‘godfather’

Khalid dakwa Zamihan dilindungi ‘godfather’