Dr Mahathir: Kibar bendera Umno di sekolah cara diktator

mahathir_Tengku-Adnan_umno_600

ALOR SETAR : Tun Dr Mahathir Mohamad mengkritik Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor yang menyatakan tindakan pelajar Sekolah Kebangsaan Presint 14 di Putrajaya mengibarkan bendera dan menyanyikan lagu Umno pada awal bulan lalu tidak dipengaruhi faktor politik, sebaliknya bertujuan memupuk semangat patriotisme.

Bekas perdana menteri itu menyifatkan perkara berkenaan sebagai cara diktator.

“Diktator mereka akan menggunakan diri mereka sebagai idola dan cuba menumpukan segala-galanya kepada diri mereka dan bukan kepada bangsa, bukan kepada negara.

“Mereka tahu bahawa bendera Malaysia adalah jalur gemilang,” katanya pada sidang media bersama kepimpinan Pakatan Harapan di Konvensyen Nasional 2017 Amanah di sini hari ini.

Semalam Tengku Adnan, yang juga setiausaha agung Umno, menyatakan tindakan pelajar Sekolah Kebangsaan Presint 14 di Putrajaya mengibarkan bendera dan menyanyokan lagu Umno pada awal bulan lalu tidak dipengaruhi faktor politik sebaliknya ia bertujuan memupuk semangat patriotisme.

Tengku Adnan turut mengakui amalan berkenaan dimulakan sejak 10 tahun lalu di sekolah terbabit dalam usaha menerap rasa kekitaan atau “sense of belonging” pelajar kepada Umno.

Mengulas lanjut, Dr Mahathir yang juga pengerusi Pakatan Harapan berkata, pada masa dahulu Umno mengiktiraf bendera Malaysia adalah jalur gemilang.

Bagaimanapun, ia berubah kini apabila mereka mahu bendera Umno sebagai bendera nasional.

“Ini adalah satu penipuan yang besar,” tegasnya.

Sementara itu, mengulas isu pendaftaran dan logo Pakatan Harapan di Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia, Dr Mahathir berkata gabungan 4 parti itu sudah mengikut kehendak agensi tersebyt.

Menurutnya, pihaknya juga sudah menulis surat kepada jabatan itu tetapi sehingga kini tidak dijawab.

“Kita dah bagi tahu kita nak kita didaftar. Kalau ada silap bagi tahu kita boleh ubah. Tapi nampak perasaan takut sangat kepada Pakatan Harapan ini.

“Cara nak kalahkan Pakatan Harapan ini dengan tak didaftarkan. Inilah ketakutan Datuk Seri Najib (Razak).

“Tak berani lawan Pakatan Harapan. Macam-macam cara dilakukan,” katanya.

Beliau dalam masa yang sama turut ditanya adakah akan memakai logo salah 1 parti sekiranya JPPM tidak meluluskannya.

“Kita ada beberapa cara untuk atasi masalah ini tapi buat waktu ini kita tidak istiharlah cara kita,” katanya.