Militan Sabah Amin Baco terkepung di Marawi

Mohd-Amin-BacoKOTA KINABALU: Mohd Amin Baco, seorang warga Sabah dan disyaki seorang militan dan mengetuai saki-baki militan di bandar Marawi terkepung dalam 1 bangunan, menurut sumber.

Sumber di Marawi berkata pihak tentera sedang merundingkan peletakan senjata dengan pihak militan melalui Amin.

Ketua tentera wilayah Mindanao Barat Leftenan Jeneral Carlito Galvez hari ini dilaporkan berkata Amin dan seorang militan Indonesia, Ibnu Kayin, bersama saki baki militan tempatan masih melawan askar kerajaan.

Galvez juga berkata tentera sedang mengesan 3 anak lelaki emir IS yang terbunuh, Isnilon Hapilon, dan beberapa lagi militan warga asing yang masih berkubu.

Laporan berkata pihak tentera berhasrat untuk menawan 1 bangunan yang digunakan saki baki militan sebagai tempat persembunyian pada hari ini juga.

FMT pada Jumaat melaporkan seorang bekas tebusan berkata seorang remaja, berusia sekitar 13 tahun, dilihat bertempur melawan tentera bersama ayahnya, seorang warga Malaysia.

Polis Malaysia berkata mereka akan menyiasat perkara itu tetapi pihak berkuasa Filipina mendiamkan diri.

Beberapa militan masih berada di bandar itu selepas kematian Isnilon dan pengasas bersama kumpulan Maute, Omar Maute, pada Isnin.

Kumpulan Abu Sayyaf dan Maute dilaporkan bertanggungjawab ke atas pertempuran yang berlarutan di bandar itu.

Lebih 1,000 orang terbunuh, kebanyakannya militan, dalam pertembungan dengan pihak berkuasa.