Tariq Ramadan nafi dakwaan rogol, serangan seksual

Muslim-Tariq-RamadanPETALING JAYA: Cendekiawan Muslim Tariq Ramadan menafikan dakwaan rogol dan serangan seksual yang dibuat oleh seorang aktivis terhadap diri beliau di Perancis kelmarin.

Portal Middle East Eye yang memetik laporan akhbar Le Parisien berkata beliau telah melantik Yassine Bouzrou, seorang peguam kanan di Paris, untuk membuat aduan rasmi di agensi penguat kuasa negara itu.

Dalam kenyataan dikeluarkan, Bouzrou berkata, “aduan yang mendakwa tuduhan palsu itu akan diserahkan kepada pihak kuasa di Rouen pada hari Isnin (esok).”

Aduan rogol dan serangan seksual difailkan oleh seorang bekas salafi, Henda Ayari.

Menurut dokumen yang dilihat AFP, aduan yang difailkan di pejabat pendakwa raya bandar Rouen, barat laut Perancis, oleh aktivis sekular itu memperincikan perilaku rogol, serangan seksual, keganasan, gangguan dan intimidasi.

Badan Liberators Association, di mana Ayari memegang jawatan presiden, berkata di Facebook bahawa aktivis itu “mangsa sesuatu yang sangat serius beberapa tahun lalu” tetapi tidak mendedahkan nama penyerangnya atas sebab keselamatan.

Dalam buku “I chose to be free”, yang diterbitkan pada November 2016, beliau memberikan nama Zubair pada penyerangnya.

Dalam penulisannya Ayari berkata beliau menemui lelaki itu di sebuah hotel di Paris selepas pemikir Islamis itu memberikan kuliah.

Ramadan telah menulis secara meluas mengenai topik umat Islam Eropah, sering menggalakkan umat Islam di Barat untuk bangga dengan identiti mereka sebagai orang Eropah dan Muslim, dan mengamalkan budaya negara masing-masing tanpa syarat, melainkan jika aspek-aspek tertentu jelas bertentangan dengan ajaran-ajaran Islam.

Beliau adalah pengarang beberapa buku termasuk Islam and the Arab Awakening (2011) dan What is a Western/Muslim Individual Today (2015).

Tariq Ramadan dituduh rogol, serangan seksual