Bekas ahli Parlimen Kapar fail saman terhadap The Star

S-Manickavasagam
S Manickavasagam (kanan) bersama peguam Gurmit Singh selepas memfailkan saman terhadap The Star.

SHAH ALAM: Bekas ahli Parlimen Kapar, S Manickavasagam hari ini memfailkan saman RM150 juta terhadap Kumpulan Media Star Berhad dan wartawan berhubung artikel berkaitan deposit Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) golongan orang kurang upaya tahun lalu.

Bekas wakil rakyat PKR itu memfailkan saman itu di Mahkamah Tinggi Shah Alam pada 9.45 pagi tadi.

Menurut Manickavasagam, artikel 17 Jun 2016 itu mendakwa beliau menipu beberapa OKU dan mengambil deposit KWSP mereka.

“Mana boleh ambil KWSP mereka. Jika saya ambil mesti ada siasatan oleh KWSP, dan pengadu akan membuat laporan kepada KWSP dan polis, tapi sampai sekarang tak ada,” katanya kepada FMT selepas memfailkan saman itu.

Katanya lagi, artikel itu juga mendakwa beliau menerima rasuah RM30,000 daripada seorang kontraktor membabitkan tender baik pulih kemudahan awam. Menurut Manickavasagam, SPRM selepas siasatan mendapati tidak ada kes.

“SPRM telah memulangkan wang jaminan kepada saya. Tak ada kes,” katanya.

Bekas wakil rakyat PKR itu ditahan SPRM pada 15 Jun 2016 dan dibebaskan keesokan hari dalam siasatan ke atas dakwaan menerima rasuah. Media memetik sumber SPRM berkata S Manickavagsam didakwa menerima wang berkenaan bagi membolehkan syarikat kontraktor terbabit mendapat tender bernilai RM1 juta.

Manickavasagam menurut Harian Metro berkata beliau tidak mengenali lelaki itu yang hanya memberitahu mahu memberi dana politik. “Dia membuang dan meninggalkan satu sampul surat. Tidak lama kemudian, saya ditahan dan pemeriksaan mendapati sampul itu mengandungi wang.”