DNA keluarga Mahmud di Malaysia boleh bantu sahkan kematian, kata polis

fuzi-harun_Mahmud-Ahmad-_isis_600

PUTRAJAYA: Polis bersedia untuk bekerjasama dengan pihak berkuasa Filipina berhubung status kematian militan Malaysia paling dikehendaki, Mahmud Ahmad.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Fuzi Harun berkata pihaknya sudah mengambil beberapa sampel DNA keluarga Mahmud dan boleh menyerahkannya kepada pihak berkuasa Filipina jika diperlukan.

“Mayat arwah (Mahmud) pun tidak dapat lagi. Yang boleh kita sahkan, kita sudah buat persediaan dengan mengambil sampel DNA ahli keluarga (Mahmud).

“Kalau boleh, kita hantar sampel DNA (keluarga Mahmud) untuk sahkan sama ada arwah ini meninggal atau sebaliknya.

“Tetapi tidak ada permintaan lagi dari Filipina. Kita cuma siap sedia apa yang boleh kita bantu,” katanya kepada wartawan hari ini.

Tentera Filipina semalam berkata mereka belum dapat mengesahkan sama ada Mahmud, rakyat Malaysia yang disifatkan antara pengganas paling dikehendaki, merupakan antara 42
orang yang terbunuh dalam pertempuran antara militan dan tentera di bandar Marawi, selatan Filipina.

Polis dan Kementerian Pertahanan sebelum ini berkata mereka masih menunggu laporan rasmi daripada Filipina tentang kematian Mahmud.

Fuzi berkata pihaknya tidak boleh mengesahkan lagi sama ada Mahmud antara yang terbunuh dalam petempuran itu.