Bajet 2018: PAS mahu Tol Gombak, Karak dihapuskan

tuan-ibrahim_tol_600

PETALING JAYA: PAS memuji tindakan kerajaan memansuhkan kutipan tol di beberapa lebuh raya dalam pembentangan Bajet 2018 semalam dan berkata ia adalah wajar.

Bagaimanapun, Timbalan Presiden PAS Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man berkata kerajaan juga perlu menghapuskan tol di Gombak dan Karak berikutan operasinya yang sudah lama dijalankan.

“Tindakan menghapuskan tol di 4 lokasi adalah tindakan yang wajar, namun beberapa tol yang terlalu lama seperti Gombak dan Karak juga perlu dihapuskan,” katanya dalam satu kenyataan.

Semalam, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak mengumumkan pemansuhan kutipan tol di Batu Tiga dan Sungai Rasau di Selangor; Bukit Kayu Hitam di Kedah dan Eastern Dispersal Link di Johor.

Tol Gombak dan Karak berada di Lebuhraya Kuala Lumpur-Karak, sebuah lebuhraya capaian separa sepanjang 60 km menghubungkan Kuala Lumpur dan bandar Karak, Pahang.  Lebuh raya ini dibina pada 1974 sebagai alternatif kepada Jalan Gombak-Bentong. Ia dibuka kepada lalu lintas pada tahun 1977.

Memandangkan Malaysia merupakan negara pertanian pada masa itu, kerajaan memutuskan untuk mengenakan tol bagi mendapat pulangan bagi kos pembinaan.

Mengulas lanjut Bajet 2018, Tuan Ibrahim berkata pemberian Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) pada kadar yang sama menunjukkan kegagalan kerajaan.

Beliau berkata sekiranya negara semakin makmur, sepatutnya jumlah keluarga atau individu yang layak menerima BR1M akan berkurang kerana pendapatan mereka bertambah.

“Pengekalan peruntukan BR1M menandakan kegagalan kerajaan meningkatkan pendapatan golongan berpendapatan rendah.

“Pengurangan cukai pendapatan individu pemastautin untuk RM2.3 juta pembayar cukai terutamanya bagi golongan M40 atau lebih tepat pendapatan isi rumah di bawah RM9,000 ribu sebulan adalah pengakuan tidak rasmi kerajaan bahawa polisi ekonomi kini bukan sahaja menyempitkan kewangan golongan berpendapatan rendah, malah kini ia menyebabkan golongan pertengahan juga bergelut dengan kenaikan kos kehidupan.

“Golongan pertengahan ini terpaksa dibantu agar mereka boleh meningkatkan pendapatan melalui pengurangan cukai ini,” katanya.

Selain itu, beliau juga mempersoalkan tawaran pembayaran semula Perbadanana Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) oleh kerajaan.

Katanya, adakah langkah ini diambil disebabkan kurangnya peluang pekerjaan untuk para graduan ataupun kenaikan kos sara hidup menyebabkan graduan tidak mempunyai lebihan duit untuk melakukan pembayaran semula PTPTN.

Beliau juga menyarankan kerajaan meneroka sumber baru bagi menjana pendapatan negara kerana bajet kali ini masih terikat dengan sumber tradisi.

 

“Dengan peruntukan hanya 16% untuk pembangunan, maka hasrat mencapai status negara maju yang digaris dalam Wawasan 2020 hanya menjadi angan-angan yang tidak mungkin menjadi kenyataan.

“Dengan komitmen kos operasi setinggi ini, jika BN menang di PRU14, kadar GST dijangka terpaksa dinaikkan sekiranya negara memerlukan dana untuk pembangunan,” katanya.