Wanita maut, 5 sesak nafas kebakaran rumah di Bangsar

kebakaran-bangsar-wanitaKUALA LUMPUR: Seorang wanita maut manakala 5 lagi sesak nafas selepas rumah mereka di Lorong Maarof, Bangsar di sini terbakar awal hari ini.

Pengarah Bomba dan Penyelamat Kuala Lumpur Khirudin [email protected] berkata, dalam kejadian kira-kira 4 pagi itu, mayat wanita yang dikenali sebagai Kamadevi berusia lingkungan 50 hingga 60 tahun ditemui di ruang tangga rumah 2 tingkat berkenaan.

Katanya, anggota bomba terpaksa memecah pintu untuk masuk ke kediaman yang mempunyai 6 bilik tidur untuk menyelamatkan semua mangsa yang terperangkap.

“Ketika pasukan bomba tiba di lokasi kejadian api sedang marak di bahagian ruang tamu dan kebakaran berjaya dikawal pada 4.46 pagi,” katanya ketika dihubungi Bernama.

Khirudin berkata, 2 mangsa berlari keluar sebaik pintu berjaya dipecahkan, 2 lagi mangsa ditemui terbaring di bilik tidur tingkat atas manakala seorang remaja ditemui sedang menangis di bilik tidur aras bawah.

“Tindakan pantas bomba berjaya menyelamatkan 4 sekeluarga itu dan seorang pembantu rumah yang terperangkap di dalam kediaman berkenaan,” katanya.

Beliau berkata 3 mangsa menerima rawatan di zon merah manakala 2 lagi dirawat di wad biasa Pusat Perubatan Universiti Malaya. Kesemua mereka berumur lingkungan 12 hingga 60 tahun.

Menurutnya, kebakaran dipercayai bermula dari ruang tamu dan punca kejadian masih dalam siasatan.