Jawapan bekas KPN tak memuaskan, ketua JSJ Selangor akan dipanggil

khalid-pastor-koh-3

KUALA LUMPUR: Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Selangor SAC Fadzil Ahmat akan dipanggil sebagai saksi untuk memberi keterangan dalam siasatan awam Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam) tentang kehilangan Pastor Raymond Koh.

Suhakam mahu memanggil beliau bagi mendapatkan maklumat mengenai hasil siasatan pasukan petugas khas yang dibentuk untuk menyiasat kehilangan Koh, termasuk siasatan ke atas saksi kejadian dan maklumat berkaitan mangsa.

Suhakam memutuskan perkara itu selepas panel siasatan awam mendapati saksi ke-5, Tan Sri Khalid Abu Bakar, tidak dapat menjawab soalan peguam keluarga Koh secara tepat.

Di sidang hari ini, bekas ketua polis negara itu meminta agar soalan penting berkaitan kehilangan Koh diajukan kepada Fadzil, yang lebih arif kerana beliau merupakan ketua pasukan petugas khas itu.

Khalid juga tidak dapat menjawab pertanyaan tentang suspek dalam siasatan polis.

“Saya menggunakan hak untuk tidak memberikan jawapan mengenai soalan-soalan yang melibatkan suspek. Suspek yang ditahan mungkin akan ditahan semula pada masa hadapan, jadi saya tidak dapat berkata apa-apa,” katanya di siasatan awam Suhakam tentang kehilangan Pastor Raymond Koh dan 3 individu lain, di pejabat Suhakam hari ini.

Khalid berkata, beliau diberi taklimat rasmi mengenai siasatan kes itu sebanyak 2 kali dan setiap satu taklimat antara 10-15 minit sahaja.

“Taklimat pertama adalah selama 10 minit beberapa minggu selepas penculikan itu berlaku,” katanya.

Beliau juga tidak tahu sama ada Cawangan Khas turut menyiasat dan mengambil keterangan Koh sebanyak 9 kali, selepas Koh dan Harapan Komuniti dikaitkan dengan isu memurtadkan orang Islam pada 2011.

“Saya tidak tahu dan tidak diberitahu mengenai perkara itu. Polis dibahagikan kepada 10 jabatan dan setiap jabatan mempunyai pengarah masing-masing. Pengarah berkenaan akan memberikan arahan untuk jabatan masing-masing,” katanya.

Siasatan mengenai kehilangan Koh akan bersambung semula pada 2 November dan Khalid akan dipanggil sekali lagi pada 21 November.

Pastor Koh, 62, diculik sekumpulan lelaki bertopeng di Jalan SS4B/10, kurang 100 meter dari Kompleks Perumahan Polis di Kelana Jaya pada 13 Feb lalu, semasa beliau memandu sebuah kereta Honda Accord bernombor plat ST 5515 D.

Pastor Koh diculik semasa dalam perjalanan ke rumah rakannya di Kelana Jaya. Video insiden itu menunjukkan ia satu rancangan rapi melibatkan lebih 10 lelaki dan 7 buah kenderaan di siang hari.

Keluarga Pastor Koh menawarkan ganjaran RM100,000 untuk sebarang maklumat.

Sehingga kini, masih tiada permintaan wang tebusan atau komunikasi dengan penculik, memberi gambaran yang wang bukan motif penculikan itu.