Lebih baik cari bukti dari buat tuduhan baru, kata PAS kepada Clare

fadhil

PETALING JAYA: Pemuda PAS menempelak tuntutan balas editor Clare Rewcastle Brown, yang mendakwa presiden mereka, Datuk Seri Abdul Hadi Awang berkomplot dengan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak atau ejen beliau untuk mengeksploitasi satu kes mahkamah di London.

Naib Ketua Pemuda PAS Ahmad Fadli Shaari berkata editor Sarawak Report itu sepatutnya mendapatkan bukti kononnya pemimpin PAS menerima RM90 juta daripada membuat dakwaan baru yang tidak sahih.

“Lebih baik mereka berusaha dapatkan bukti atas tuduhan mereka terhadap PAS yang dikatakan menerima RM90 juta sebelum daripada ini, daripada membuat dakwaan baru yang sudah tentu memerlukan kepada bukti pula,” katanya.

Ahmad berkata tuduhan terbaharu itu menunjukkan Sarawak Report semakin hilang kredibiliti sebagai sebuah portal berita.

“Sekiranya mereka tewas di dalam kes saman ini mereka sama sekali tidak akan dipercayai lagi selepas daripada ini. Ini termasuklah juga juak-juak mereka di Malaysia yang gemar bersandar kepada laman web ini untuk melakukan apa-apa tuduhan,” katanya.

Dalam laporan FMT hari ini, Clare mendakwa Hadi berkomplot dengan Najib atau ejen beliau untuk mengeksploitasi prosiding mahkamah di London dalam usaha propaganda mereka untuk melepaskan perdana menteri daripada tuduhan.

Clare dalam tuntutan balas menjawab saman Hadi berkata mereka mahu mencemar nama baik beliau dan portal Sarawak Report yang berkempen untuk menyingkir dan membawa Najib ke mahkamah untuk menjawab dakwaan rasuah dan kelakuan jenayah.

Dalam kertas mahkamah yang dilihat FMT, Clare berkata Hadi, sama ada secara sendiri atau ejen beliau, terbabit dengan penerbitan beberapa siri artikel, yang mempunyai unsur perkauman, memfitnah dan mengganggu beliau di laman sesawang Third Force dan Malaysia Today.

Clare juga menyenaraikan sekurang-kurangnya 10 pegawai PAS dari kumpulan ulama yang didakwa menerima wang yang disumberkan daripada 1MDB.

Hadi memfailkan saman di Mahkamah Tinggi London susulan artikel yang ditulis pada 6 Ogos tahun lepas.

Sarawak Report menaikkan artikel 8 perenggan yang mendakwa RM90 juta “dikatakan” memasuki akaun pimpinan tinggi PAS bagi memikat mereka menyokong Umno dan BN.

Clare dalam pembelaannya terhadap saman Hadi itu berkata Hadi tidak dinamakan atau dikenalpasti dalam mana-mana kenyataan dalam artikel berkenaan.

Clare berkata Hadi memfailkan dakwaan itu bukan untuk mempertahankan imejnya tetapi untuk tujuan salah iaitu melindungi nama baik dan meneruskan tujuan politik PAS dan sekutunya, Najib.