KUALA LUMPUR: Tindakan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak membangkitkan isu penindasan etnik Rohingya ketika pertemuan bersama Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump adalah satu hipokrasi terbesar, kata Ahli Parlimen Kuala Terengganu Raja Bahrin Shah.
Beliau berkata, tindakan Najib memalukan kerana kerajaan menolak usul membahaskan isu Rohingya.
“Najib menyebut beliau menimbulkan isu pembunuhan kaum Rohingya dengan Trump pada lawatan tersebut.
“Saya berpendapat ia adalah satu hipokrasi besar yang memalukan kerana kerajaan Malaysia sendiri menolak usul rasmi isu Rohingya untuk di bahas di Parlimen yang kami pembangkang bawa tahun lepas.
“Kini Najib menggesa Amerika mengambil berat isu tersebut,” katanya pada sidang media di Parlimen hari ini.
Najib ketika sesi soal jawab lisan di Parlimen awal hari ini berkata, AS menghentikan bantuan ketenteraan kepada Myanmar dan menyalurkan bantuan kemanusiaan AS$32 bilion selepas beliau membangkitkan isu penindasan etnik Rohingya kepada Trump dalam lawatannya ke Rumah Putih 13 September lalu.
Ahli Parlimen Pekan itu berkata, tindakan Trump itu membuktikan Malaysia mampu mempengaruhi kuasa besar dunia.
“Ini kejayaan Malaysia, bermakna Malaysia ada pengaruh di pentas antarabangsa hatta dengan kuasa besar,” kata Najib.
Raja Bahrin berkata, sandiwara itu turut diteruskan Menteri Belia dan Sukan Khairy Jamaluddin, yang menggesa Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) memanggil sidang khas di New York untuk membahaskan isu Rohingya.
“Sementara kerajaan sendiri menolak perbahasan di Parlimen sendiri yang sedang bersidang pada waktu itu.
“Jelas nampaknya Najib dan kerajaan Malaysia bersandiwara di peringkat antarabangsa sementara di negara sendiri keadaan sebenar adalah sebaliknya,” kata Raja Bahrin.