KBS janji selesai isu bayaran KL2017 November ini, kata Seniman

ZED-ZAIDI

PETALING JAYA: Kementerian Belia dan Sukan berjanji isu bayaran kepada artis acara penutup Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 akan selesai November ini, kata Persatuan Seniman Malaysia (Seniman).

Presiden Zed Zaidi berkata perkara itu dimaklumkan kepada pihak persatuan dalam semakan dengan pihak kementerian.

“Kita dah ambil maklum tentang perkara itu dan kami susah semak dengan pihak KBS dan sebagainya…Saya harap isu ini dapat diselesaikan sepertimana yang dijanjikan,” katanya kepada FMT.

Zaidi tidak menyalahkan kementerian 100% atas kelemahan itu kerana beliau dimaklumkan isu pembayaran diurus syarikat yang dilantik melalui tender untuk menguruskan persembahan pembukaan dan penutup KL2017.

“Bayaran juga akan diselesaikan melalui syarikat tersebut,” katanya.

Perkembangan ni menyusuli laporan media mengenai beberapa artis mendakwa mereka masih belum menerima bayaran bagi persembahan acara penutup KL2017 2 bulan lepas.

Penyanyi Datuk Zainal Abidin berkata artis terlibat kecil hati kerana dilayan seperti “bola” yang ditendang merata tempat apabila menuntut bayaran bagi perkhidmatan mereka.

Selain Zainal, Ella, Amy Search, Datuk David Arumugam, Siti Nordiana, Faizal Tahir, Francissca Peter dan Hijjaz turut diundang menjayakan acara tersebut.

David berkata beliau juga belum menerima bayaran tetapi tidak risau dengan apa yang berlaku, sementarqa Adibah Noor menimbulkan isu bayaran itu di media sosial.

“Sedih dengar keluhan kawan-kawan yang perform kat Closing Sea Games masih belum dapat bayaran. Alasan: Sibuk dengan #Bajet2018. Segerakanlah,” tulisnya di Twitter.

Zaidi berkata ini bukan kali pertama golongan seniman menjadi mangsa isu pembayaran. Beliau turut mempertahankan tindakan Adibah menimbulkan isu bayaran itu ke perhatian umum.

“Mungkin ada pihak yang salah faham teguran yang ingin disampaikan Adibah Noor, sebab apa yang beliau cakap itu bukannya menghina.

“kenyataannya itu sepatutnya dipandang positif. Jangan salahkan Adibah Noor sebab beliau lakukan tanggungjawab untuk membantu artis lain,” katanya.