Orang awam ‘tak kisah’ tengok ibu terajang, pukul anak di khalayak

beat-kidsfmt-ohsem-inside-article1Perbuatan seorang ibu bertindak kasar terhadap anaknya yang dipercayai berumur sekitar 3 hingga 5 tahun menjadi debat dalam kalangan netizen.

Rata-rata mengasihani ibu dan tidak kurang juga memarahinya yang tidak dapat mengawal emosi sehingga bertindak seakan-akan mendera.

Ada juga yang mengasihani anak itu tetapi ada yang mempersoalkan tanggungjawab orang awam yang lalu lalang tetapi langsung tidak mengendahkan kejadian itu.

Rakaman video menunjukkan si ibu yang kelihatan sarat membimbit pelbagai barangan dalam beg plastik besar dan dalam masa yang sama terpaksa mengendalikan situasi sukar dengan anaknya.

Kejadian dipercayai berlaku berhampiran mesin pengimbas tiket di sebuah stesen komuter yang tidak dipastikan lokasinya.

Dalam keadaan tertekan atau mungkin marah, wanita itu menolak anaknya sehingga jatuh, memukul, menghayun serta menendangnya bertubi-tubi.

Video yang tular di laman sosial itu juga menunjukkan pengguna komuter langsung tidak mengendahkan apa yang berlaku di situ.

Adakah mereka tunggu sehingga sesuatu yang buruk berlaku atau takut membantu kalau terkena pada diri sendiri?

Pakar psikologi dari Universiti Sabah Malaysia (UMS), Prof Madya Dr Balan Rathakrishnan ketika dihubungi FMT Ohsem berkata, keadaan itu berlaku kerana komuniti sekitar bersikap individualistik iaitu mementingkan kerja dan masa mereka.

“Mereka hanya utamakan keperluan sendiri, mengharapkan orang lain untuk memberi bantuan. Kita mengenalinya sebagai kesan ‘bystander’.

“Sudah tiba masanya kita mengajar masyarakat untuk membantu walaupun sifat itu perlu hadir secara semula jadi dalam diri setiap manusia,” kata Balan merujuk kepada perbuatan orang awam.

Kita lazimnya lupa pada tanggungjawab sendiri sebagai komuniti dalam menghulurkan bantuan tetapi lebih tertumpu kepada menuding jari menyalahkan mangsa atau pemangsa.

Menurut Balan, perkara ini boleh ditanggani jika setiap orang berfikir secara kolektif dengan menyedari ibu, anak dan diri mereka berada dalam lingkungan sebuah komuniti yang saling memerlukan.

Beliau juga tidak menolak pengabaian oleh orang awam mungkin berpunca daripada pengalaman lepas apabila mereka pula yang dipersalahkan atau ditipu dalam situasi seperti itu.

“Ini boleh diaplikasikan untuk kedua-dua pihak, orang awam yang takut menolong kalau-kalau ditipu atau diperangkap dalam masalah besar atau ibu itu sendiri yang enggan menerima bantuan kerana takut dianiaya,” katanya.

Walaupun rakaman video itu tidak menjelaskan secara lanjut keadaan ibu atau anak yang terlibat, semoga tiada apa yang lebih buruk berlaku dan pihak berkuasa perlu segera mengambil tindakan.

Sama ada selamatkan anak itu atau beri sokongan mental dan emosi kepada ibu tersebut.