Bukan senang bawa masuk amah tanpa kami, kata ejen

amah-maid-orang-gaji

KUALA LUMPUR: Beberapa syarikat agensi pengambilan pembantu rumah kecewa dengan pengumuman Putrajaya dalam Bajet 2018 membenarkan rakyat Malaysia memintas orang tengah untuk membawa masuk pembantu rumah secara sah, tetapi berkata perkara itu sesuatu yang mustahil dilaksanakan

Mereka berkata ia kerana negara asal pembantu rumah mempunyai syarat yang ketat di samping lebih gemar berurusan dengan syarikat agensi amah yang berdaftar.

1.-david-yeeDavid Yee dari Agensi FR Gardens Sdn Bhd yang sudah 20 tahun menjalankan perniagaan sebagai ejen amah, berkata terdapat syarat ketat oleh kerajaan Filipina yang menyukarkan pengambilan pembantu rumah.

“Bukan senang untuk majikan pergi sendiri mendapatkan pembantu rumah. Jika mereka tidak ada dokumen yang lengkap, pembantu rumah yang ingin dibawa tidak dibenarkan keluar. Syarat mereka juga ketat dari segi kebajikan seperti gaji.

“Jika syarat-syarat yang dikenakan tidak dipatuhi, sukar mereka untuk mendapatkan pembantu rumah,” katanya kepada FMT.

Perkara sama disebut Fiona Low, yang memiliki Agensi Seri Nadit Sdn Bhd.

2.-FionaMenurut Low, negara sumber pembantu rumah sukar melepaskan mereka sekiranya tidak ada kepastian mengenai soal perlindungan mereka.

Ia berbeza sekiranya pihak berkuasa negara tersebut berurusan dengan ejen berdaftar, di mana menurutnya, kebajikan rakyat mereka dilindungi.

“Sukar untuk negara seperti Indonesia dan Filipina melepaskan mereka secara haram atau tanpa perlindungan. Indonesia misalnya tak akan setuju sebab ia sudah melanggar undang-undang mereka,” katanya.

Low yang sudah 23 tahun menjalankan agensinya itu berkata berdasarkan maklum balas, kebanyakan negara sumber masih gemar menggunakan agensi yang sah.

“Ini kerana majikan akan mengetahui proses yang sebetulnya.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak, ketika membentangkan Bajet 2018 Jumaat lalu, berkata majikan akan dibenarkan mengambil pembantu rumah asing secara langsung dari 9 negara sumber tanpa melalui ejen.

Senarai itu termasuk Indonesia, Filipina, Thailand, Kemboja, Sri Lanka dan Vietnam, iaitu antara negara yang membekalkan majoriti pembantu rumah di Malaysia.

Dasar terkini itu membolehkan majikan memohon visa pembantu rumah dari Jabatan Imigresen secara atas talian dengan bayaran levi dan yuran pemprosesan mengikut kadar sedia ada.

3.-lim-seng-koonSementara itu, Lim Seng Koon, pengarah sebuah syarikat ejen amah yang sudah wujud selama 20 tahun, mengakui langkah menghapuskan orang tengah akan menyebabkan penutupan syarikat sepertinya.

“Jika diteruskan, agensi kami terpaksa ditutup dan 5 pekerja saya juga akan kehilangan pekerjaan,” katanya.

Sebelum ini, ramai menggesa kerajaan membenarkan rakyat Malaysia mencari sendiri pembantu rumah tanpa perlu melalui ejen.

Ia susulan pelbagai aduan awam mengenai ejen amah yang menipu orang ramai dengan mengenakan kos tinggi di samping menjadi dalang pembantu rumah yang menghilangkan diri.

Lim, 65, menafikan dakwaan tersebut.

Menurutnya, bukan senang untuk agensi pekerjaan menyediakan pembantu rumah kepada majikan yang memerlukannya.

“Di samping terpaksa berdepan kos yang tinggi, mereka juga perlu bertanggungjawab untuk memastikan pembantu rumah yang diambil tidak menimbulkan masalah sehingga mereka habis kontrak,” katanya kepada FMT.

Menurutnya, margin untung agensi amah juga kecil.

Lim berkata, apa yang menjadi masalah ialah kos tinggi mengambil pembantu rumah, iaitu antara RM10,000 dan RM14,000 seorang.

“Sepatutnya kerajaan menumpukan kos pengambilan itu berbanding membuat dasar baru pengambilan pembantu rumah,” katanya.