Jangan salah faham kenyataan Bugis Dr M, kata Syed Saddiq

syed-saddiqPETALING JAYA: Syed Saddiq Syed Abdul Rahman hari ini berkata Dewan di-Raja Selangor tersalah faham kenyataan Tun Dr Mahathir Mohamad dalam isu keturunan Bugis.

Dalam surat terbuka kepada Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah, Syed Saddiq menjelaskan gelaran “lanun Bugis” bagi menyedarkan masyarakat kepada tindak tanduk Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak menggelar diri “pahlawan Bugis”, yang diisytiharkan pada satu program di Sarawak, 4 Jun 2015.

Beliau memberi contoh 2 peristiwa iaitu pada 18 dan 26 Oktober tahun ini di mana pengerusi Pakatan Harapan itu menjelaskan gelaran ditujukan kepada Najib, yang terpalit dakwaan salah guna kuasa dan rasuah, dan mengakui sejarah keturunan Bugis bukan sejarah pelanunan semata-mata.

“Ini jelas menunjukkan pendirian Dr Mahathir yang menempelak Najib Razak semata-mata atas salah laku beliau yang menggunakan keturunan Bugis sebagai perisai,” katanya. Surat itu diutus atas kapasiti peribadi.

Ketua Pemuda PPBM itu berkata demikian selepas Dewan di-Raja Selangor berpandangan siasatan dan tindakan undang-undang di bawah Akta Hasutan 1948 atau apa jua undang-undang berkaitan wajar diambil terhadap Dr Mahathir.

Dr Mahathir di tunjuk perasaan Sayangi Malaysia – Hapuskan Kleptokrasi di Padang Timur di sini 14 Oktober lepas membidas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak sebagai “keturunan lanun bugis”.

Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah dalam kenyataan hari ini berkata, setelah berbincang dengan para ahli Dewan di-Raja Selangor, memandang serius, murka dan amat kecewa dengan petikan ucapan pengerusi Pakatan Harapan itu yang dilihat cuba menghasut rakyat untuk membenci, menghina dan memandang serong terhadap bangsa Bugis.

“Berdasarkan rakaman klip video ucapan berkenaan yang telah tular di media sosial, tohmahan dan kenyataan Tun Dr Mahathir itu jelas menghina dan menggolongkan bangsa Bugis ini kononnya berasal usul dari golongan lanun, perompak dan penjenayah.

“Tohmahan ini secara tidak langsung menghina salasilah dan keturunan Kesultanan Selangor yang berasal dari Bugis,” kata kenyataan itu.

Syed Saddiq berkata beliau kecewa isu Bugis timbul dan dipolitikkan ketika negara berdepan isu rasuah, kleptokrasi dan ketirisan yang menurutnya berleluasa.

“Saya sebagai orang Melayu amatlah berasa malu sekiranya menggunakan ‘pahlawan Melayu’ sebagai jalan untuk menghalalkan perbuatan. Ini bukan isu bangsa mahupun keturunan, tidak kisah keturunan Melayu, Bugis, India, Cina, Sabah dan Sarawak.”

Beliau turut menyentuh mengenai peringatan Sultan Selangor kepada semua pihak, terutama ahli politik, untuk tidak mempersendakan isu bangsa dan keturunan sebagai modal politik.

“Nyata patik berbeza pendapat untuk Dr Mahathir disiasat di bawah Akta Hasutan kerana penyataan itu juga boleh dikaitkan dengan isu kenyataan Datuk Seri Zahid Hamidi (timbalan perdana menteri) yang melibatkan keturunan India, yang juga merupakan warganegara Malaysia.”