Baru dilancar, album Fazura dah terjual 5,000 unit

fazura2fmt-ohsem-inside-article1Baru lancar album, sudah terjual 5,000 unit dan sudah menerima anugerah emas daripada syarikat rakamannya, Universal Music Malaysia, itulah keajaiban jelitawan bernama Fazura.

Album sulung Nur Fazura Sharifuddin yang membawa namanya sendiri sebagai judul album, Fazura merupakan cubaan pertama yang membawa pencapaian luar biasa.

“Saya tak dapat mencari nama judul lain kerana setiap lagu dalam album ini adalah mengenai diri saya,” kata Fazura pada majlis pelancaran album berkenaan di sebuah hotel di Bandar Utama, Petaling Jaya.

Kata Aktres Terbaik Festival Filem Malaysia ke-27 itu, dia sangat terharu mengenangkan pengalaman pahit dan manis tatkala merakam video lagu-lagu tersebut.

“Ada yang mengecam, mengkritik kerana tidak selesa melihat saya menyanyi. Tetapi saya hanya menganggap semua itu sebagai doa dan pembakar semangat untuk terus berusaha dan berjaya,” kata pelakon berusia 34 tahun yang kini berjaya membuktikan kemampuannya dalam bidang nyanyian.

Fazura mengambil masa setahun menyiapkan kesemua 9 lagu antaranya Bangun, Bisa Apa, Cinderella, Cinta Langka, Hanya Tuhan Yang Tahu dan Only God Knows di samping jadualnya yang ketat.

Selain lagu duet popular bersama Fattah Amin iaitu “Cinderella”, peminat juga boleh nantikan sebuah lagi duet bertenaga bersama Ariadinata, vokalis utama band Indonesia, Samsons dengan lagu “Cinta Langka”.

fazura1

Single pertama, Sayangi Dirimu yang juga lagu kegemaran Fazura turut dirakam semula dan dimuatkan dalam album tersebut.

“Saya menghadiri kelas vokal dan menerima panduan secara profesional. Saya bekerja keras dan berharap peminat akan menikmati album ini,” tambahnya.

Majlis itu juga turut memperkenalkan Fazura sebagai Duta Produk Sahajidah Hai-O Marketing dan pelancaran produk Min Cha, miuman teh tarik yang mengandungi garam buluh asli dari Korea.

Menurut Hai-O Shajidah, Fazura dipilih sebagai duta seiring dengan visi syarikat itu yang giat mengadakan kepelbagaian cabang perniagaan dengan menembusi industri fesyen serta menawarkan produk gaya hidup.