Najib: Ada pemimpin DAP belajar di institusi dibiaya MCA

najib-mca-11

KUALA LUMPUR: Datuk Seri Najib Razak hari ini mendakwa sesetengah pemimpin pembangkang pernah melanjutkan pelajaran di institusi pendidikan tinggi yang ditubuh serta dibiayai MCA.

Perdana menteri berkata, ahli politik itu menjadi “pandai” disebabkan jasa MCA dan BN menyediakan pendidikan tinggi berkualiti kepada rakyat.

“(Timbalan Presiden MCA yang juga Menteri di Jabatan Perdana Menteri) Datuk Seri Wee Ka Siong beritahu saya, dalam Utar dan TAR UC ada 50,000 pelajar.

“Dalam sejarah mereka mempunyai 210,000 pelajar telah jadi orang berkelulusan kerana jasa MCA dan kerajaan BN,” katanya merujuk institusi pendidikan milik MCA iaitu Universiti Tunku Abdul Rahman dan Kolej Universiti Tunku Abdul Rahman.

Beliau berkata, parti pemerintah perlu mengingatkan pemimpin politik itu mengenai perkara berkenaan kerana pembangkang sentiasa menyerang kerajaan.

Beliau berkata, Ahli Parlimen Seputeh, Teresa Kok, Ahli Parlimen Rasah, Teo Kok Seoang dan exco Pulau Pinang yang juga Adun Padang Lalang, Chong Eng – semuanya daripada DAP ialah antara bekas pelajar di institusi dibiayai MCA.

“Termasuk Teresa Kok, ahli Parlimen Rasah, ramai lagi orang pembangkang yang jadi pandai dan ada kelulusan kerana MCA dan BN,” katanya ketika berucap merasmikan Perhimpunan Agung MCA hari ini.

Bagaimanapun, hasil pemeriksaan FMT di akaun media sosial Kok dan Chong menunjukkan mereka bukan alumni institusi pendidikan dibiayai MCA.

Menurut blog Kok, beliau pernah menuntut di Universiti Sains Malaysia (USM), manakala Chong ialah lepasan Universiti Putra Malaysia (UPM).

Teo ketika dihubungi mengesahkan beliau ialah pemegang diploma lanjutan dari Kolej TAR dan menyambung pelajaran ke peringkat ijazah sarjana dalam pengurusan perniagaan di Universiti Tun Abdul Razak (Unitar).

“Mereka (BN) sepatutnya bangga dengan kami, pembangkang kerana kami juga rakyat Malaysia,” katanya yang mempersoalkan niat Najib menggunakan isu pendidikan dalam ucapan politiknya.

“Pendidikan dan politik tidak patut dicampur aduk.”

Unitar ialah sebuah universiti swasta yang dinamakan sempena bapa najib dan bekas perdana menteri, Tun Abdul Razak.